Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ULASAN | Pengumuman PM manfaat buat seluruh rakyat

Pengumuman Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berhubung pelbagai insentif dan bantuan kepada rakyat bukan sahaja dialu-alukan tetapi nyata amat berguna bagi mengurangkan beban hidup rakyat.

Ketika keadaan ekonomi global yang tidak menentu, Malaysia menerusi Kerajaan Madani masih mampu bertahan dan menjalankan segala ikhtiar dan upaya untuk membantu segenap lapisan rakyat menerusi langkah-langkah yang berani dan progresif.

Penurunan harga minyak RON95, bantuan tunai Rahmah RM100 dan meluaskan bantuan Rahmah untuk mengurangkan beban hidup rakyat merupakan langkah berani demi kepentingan rakyat terbanyak.

Begitu juga pengumuman tiada kenaikan tol memberikan kelegaan kepada pengguna kenderaan yang menggunakan perkhidmatan lebuhraya utama di negara ini.

Kita berharap pengumuman perdana menteri ini haruslah disambut dengan perasaan bersyukur di atas nikmat yang dikurniakan atas izin Allah SWT.

Ini semua boleh dilaksanakan jika kita mempunyai sebuah kerajaan yang stabil, kemampuan ekonomi dan rakyat yang sentiasa bersatu menyokong sebuah pemerintahan yang mementingkan kehidupan rakyat terbanyak.

Meskipun Anwar diasak oleh barisan pembangkang, beliau nyata cekal, tabah dan bersabar menghadapi segenap cabaran tersebut.

Perdana menteri menyahut segala cabaran itu dengan mengutamakan kepentingan rakyat, membantu meringankan beban hidup rakyat terbanyak dan memulangkan lebihan pendapatan yang dijana melalui strategi perbelanjaan berhemah untuk kebajikan rakyat.

Pihak pembangkang haruslah berhenti daripada terus mengkritik dan menghentam secara membuta tuli, menjalankan gerakan "Turun Anwar" sedangkan tidak pernah memberikan sebarang cadangan, saranan dan idea-idea progresif untuk memajukan ekonomi negara dan kebajikan rakyat.

Dalam suasana ekonomi dunia dan geopolitik antarabangsa yang terus tidak menentu, inilah masanya untuk seluruh rakyat bersatu menggembleng tenaga, fikiran dan hati yang kudus untuk mempertahankan kestabilan, keamanan dan kemakmuran yang berterusan.

Pengumuman penting perdana menteri hari ini haruslah disambut dengan perasaan gembira dan bersyukur bukan dengan cacian dan amarah yang tiada penghujung.


MUJAHID YUSOF ialah timbalan presiden Amanah merangkap anggota Dewan Negara.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS