Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Menjelang demo anti-Anwar, AGC tegaskan hak berhimpun tak mutlak
Diterbitkan:  Jul 23, 2025 6:06 PM
Dikemaskini: 10:29 AM

Jabatan Peguam Negara (AGC) hari ini memberitahu hak untuk bersuara dan berhimpun secara aman yang dijamin perlembagaan adalah tidak mutlak.

AGC berkata setiap kakitangan awam tertakluk kepada surat aku janji sebagaimana yang diperuntukkan dalam subperaturan 20(3) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Pelantikan, Kenaikan Pangkat dan Penamatan Perkhidmatan) 2012.

“Jabatan ini juga menegaskan bahawa, meskipun Perkara 10(1)(a) dan 10(1)(b) memperuntukkan hak kepada setiap warganegara untuk bercakap dan bersuara, serta hak untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata, namun hak-hak tersebut adalah tidak bersifat mutlak.

“Selaras dengan itu, sebarang perhimpunan awam juga tertakluk kepada keperluan mematuhi undang-undang sedia ada termasuk arahan khusus yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa termasuk arahan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) kepada penjawat awam,” katanya.

Kenyataan AGC tersebut dikeluarkan petang ini, kira-kira 72 jam sebelum demonstrasi menuntut Perdana Menteri Anwar Ibrahim meletakkan jawatan.

Himpunan tersebut dijadual diadakan di Kuala Lumpur pada Sabtu ini.

AGC berkata demikian sebagai mengulas kenyataan KSN, Shamsul Azri Abu Bakar, berhubung larangan pegawai awam menyertai perhimpunan anjuran pembangkang tersebut.

Terdahulu Shamsul Azri berkata tidak sewajarnya penjawat awam menyertai perhimpunan berkenaan kerana ia tidak sesuai dengan prinsip Kesetiaan Kepada Raja dan Negara yang terkandung dalam Rukun Negara.

“Mereka penjawat awam, mana boleh turun. Setiap hari, setiap minggu kita baca ikrar, iaitu Kesetiaan kepada Raja dan Negara, lupakah? Taatlah kepada Raja dan Negara,” katanya.

Mengulas lanjut, AGC menjelaskan berdasarkan surat aku janji tersebut setiap kakitangan awam bertanggungjawab mematuhi segala peraturan, termasuk Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, Perintah-Perintah Am, pekeliling, surat pekeliling, peraturan dan arahan lain yang dikeluarkan kerajaan dari semasa ke semasa sepanjang tempoh perkhidmatan mereka dengan kerajaan.

Berdasarkan peraturan itu, katanya, seseorang pegawai awam hendaklah pada setiap masa memberikan taat setianya kepada Yang di-Pertuan Agong, negara dan kerajaan.

Mereka juga, kata AGC, tidak boleh berkelakuan dengan cara yang dapat memburukkan atau mencemar nama perkhidmatan awam, selain dilarang membuat apa-apa pernyataan awam yang boleh memalukan atau memburukkan nama kerajaan.

“Sehubungan itu, sebarang kegagalan mematuhinya boleh menyebabkan tindakan tatatertib diambil ke atas pegawai awam,” tambah kenyataan itu lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS