Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ranhill SAJ anjur solat mohon hujan, tangani pencemaran ammonia
Diterbitkan:  Jul 25, 2025 1:00 PM
Dikemaskini: 5:13 AM

Ranhill SAJ menganjurkan solat sunat Istisqa bagi memohon hujan di kawasan tadahan yang membekalkan sumber air mentah ke Loji Rawatan Air (LRA) Sultan Ismail, Skudai yang terjejas akibat pencemaran ammonia sejak kelmarin.

Ketua Pegawai Eksekutif Ranhill SAJ, Anuar Abdul Ghani berkata, acara itu diadakan sebagai ikhtiar bagi mengurangkan kesan pencemaran dan memulihkan bekalan air kepada pengguna di sekitar Bandar Raya Johor Bahru dan Skudai.

“Pencemaran ammonia di sungai yang menjadi sumber bekalan air mentah kepada loji tersebut merupakan isu serius yang boleh memberi kesan buruk kepada alam sekitar dan kesihatan manusia. 

”Dalam kepekatan tinggi, ammonia boleh mencemarkan air sungai dan menjadikannya berbahaya untuk digunakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Antara punca pencemaran ammonia ialah sisa kumbahan, sisa industri serta aktiviti pertanian yang tidak dikawal.

Menurut Anuar, sebagai operator air tunggal di Johor, Ranhill SAJ mengambil beberapa sampel air di lokasi terjejas bagi memantau tahap pencemaran.

Syarikat itu sedang bekerjasama rapat dengan agensi-agensi berkaitan untuk mengenal pasti punca serta mengambil langkah mitigasi yang perlu.

Solat istisqa yang diadakan di loji berkenaan dipimpin guru takmir Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), Mohd Zunnurain Abdul Khohar dan disertai kakitangan syarikat serta masyarakat setempat.

Ranhill SAJ menyeru semua pihak agar memainkan peranan memelihara sungai dan alam sekitar daripada pencemaran, demi kelangsungan sumber air bersih kepada rakyat Johor.

Pada Rabu hampir 40,000 akaun pengguna terjejas disebabkan kandungan ammonia yang melebihi piawaian selamat, menyebabkan sumber air mentah di loji itu tidak dapat diproses.

Langkah-langkah proaktif menangani insiden tersebut membolehkan jumlah akaun pengguna terjejas itu diturunkan kepada kurang 1,000 akaun.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS