Bekas timbalan presiden PKR Rafizi Ramli berpendapat bahawa SPRM sudah mempunyai maklumat yang cukup untuk membuka kertas siasatan ke atas bekas pembantu perdana menteri, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.
Ini berdasarkan pendedahan di media sosial berhubung dakwaan skandal arang batu di Sabah.
"Maklumat-maklumat yang didedahkan setakat ini sudah cukup untuk membolehkan SPRM membuka kertas siasatan terhadap Farhash, seperti mana kertas siasatan dibuka terhadap tokoh-tokoh lain yang dituduh menjadi kaya secara tiba-tiba.
"Jika tidak, bukan sahaja usaha-usaha untuk mencegah rasuah tidak membuahkan hasil yang dikehendaki dan diterjemahkan kepada kedudukan CPI (Indeks Persepsi Rasuah) negara yang lebih baik.
"Saya khuatir beban Farhash ini akan mengheret PKR dan PH dalam pilihanraya yang akan datang," katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Ahli parlimen Pandan turut menyuarakan bahawa lebih ramai rakyat yang lebih yakin dengan usaha kerajaan membanteras rasuah sekiranya kerajaan mempunyai konsistensi dalam usaha membanteras rasuah.
Rafizi berkata ini bukan kali pertama Farhash dikaitkan dengan urus niaga yang kontroversi, dan kekayaan serta pengaruhnya sering menjadi topik perbualan – daripada rakyat biasa sehinggalah kalangan ahli perniagaan.
"Sejak Anwar menjadi perdana menteri, Farhash tiba-tiba melonjak menjadi seorang niagawan yang ligat dan mula mempunyai kepentingan dari satu syarikat ke satu syarikat.
“Ada syarikat-syarikat yang dikaitkan dengan beliau, kemudiannya mendapat kontrak perolehan yang besar daripada kerajaan.
"Jumlah sebenar kontrak-kontrak perolehan kerajaan yang dianugerahkan kepada syarikat-syarikat yang berkaitan dengan Farhash tidak diketahui umum," katanya.
Masih perlu bermuhasabah
Apabila isu tersebut dibangkitkan sebelum ini, kata Rafizi, Anwar hanya mengeluarkan penafian sambil menjelaskan bahawa urusan perniagaan Farhash tiada kaitan dengannya kerana tokoh terbabit bukan lagi berkhidmat sebagai pegawainya.
Ketika itu, kata Rafizi, dia memilih untuk bersangka baik walaupun tahu bagaimana pengaruh Farhash dalam PKR dan sebahagian pentadbiran kerajaan benar-benar wujud.
"Tuduhan terbaru mengenai lesen penerokaan mineral yang membabitkan Farhash tidak akan mati begitu sahaja.
“Pendedahan setakat ini disertakan dengan dokumen dan rakaman audio. Saya percaya lebih banyak maklumat akan menjadi pengetahuan umum selepas ini.
"Saya juga percaya ia bukan tuduhan terakhir yang membabitkan Farhash. Dari semasa ke semasa, ada saja kontroversi baru mengenai beliau yang akan menjadi bualan umum," katanya.

Rafizi juga merujuk kepada ucapan Anwar baru-baru ini yang melahirkan rasa hairan mengapa usaha antirasuahnya dilihat tidak ambil peduli oleh pihak tertentu, khususnya pembangkang.
Menegaskan dia tidak meragui keikhlasan Anwar untuk membanteras rasuah Rafizi bagaimanapun mengingatkan sebahagian besar kempen PKR yang melibatkan dirinya sejak 2010 berkisar kepada skandal-skandal besar negara.
Anwar, katanya, memberi sokongan penuh kepada usaha membongkar skandal-skandal negara.
"Salah satu penyumbang kepada kemenangan PKR dan PH dalam PRU 2018 dan PRU 2022 (sehingga beliau berjaya membentuk kerajaan campuran dan dilantik sebagai perdana menteri) adalah manifestasi tuntutan rakyat agar rasuah dibanteras sekeras-kerasnya," katan Rafizi lagi.
Dia yang juga bekas Timbalan Presiden PKR menegaskan walaupun pembangkang secara semula jadi cenderung untuk menolak inisiatif kerajaan, Putrajaya masih perlu bermuhasabah dan bertanya, mengapa masih ada orang yang tidak yakin dengan apa yang dilakukan.
Kesan daripada rasa kurang yakin itu, kata Rafizi lagi, boleh dilihat melalui beberapa sudut.
"Pertama, kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) masih di takuk yang sama. Malaysia mendapat 50 mata bagi 2023 dan 2024 yang meletakkan negara di kedudukan 57 daripada 180 negara.
"Begitu juga dengan data-data kaji selidik terkini yang saya pernah kongsikan beberapa bulan lepas, yang menunjukkan kebimbangan rakyat mengenai rasuah semakin meningkat.
“Ini berlaku dalam keadaan pentadbiran Anwar secara berterusan cuba melakukan pelbagai penambahbaikan proses, selain pendirian beliau yang berulang kali menolak rasuah," katanya.
Oleh itu, Rafizi berkata, dia berasa terdorong untuk berkongsi pandangan walaupun mungkin mendapat kritikan daripada pihak tertentu.
"Jika perdana menteri rasa pelik kenapa sambutan rakyat tidak segah usaha-usaha yang sedang dilakukan, ia bermakna ada perkara lain yang mungkin mencacatkan usaha-usaha itu di mata rakyat,” katanya.
Tambah Rafizi kedudukan CPI ditentukan oleh persepsi rakyat dan persepsi pula dipengaruhi oleh beberapa perkara penting terutamanya keberkesanan reformasi sehingga ia dilihat berjaya membanteras amalan rasuah ke peringkat akar umbi serta dirasai oleh rakyat.
Rafizi mengakui bahawa walaupun reformasi pentadbiran mengambil masa untuk merungkai budaya yang berakar umbi dan membasmi rasuah.
Pun begitu, katanya, "amat berbahaya" jika pentadbiran Anwar dianggap tidak konsisten atau selektif semasa memerangi amalan tersebut.
Katanya, ini lebih-lebih lagi jika kes besar yang melibatkan pemimpin kerajaan perpaduan atau individu yang rapat dengan perdana menteri tidak ditangani dengan tegas.
