Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Menteri arah pengangkutan awam operasi macam biasa esok
Diterbitkan:  Jul 25, 2025 1:59 PM
Dikemaskini: 6:07 AM

Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengarahkan agar semua pengangkutan awam termasuk stesen-stesen kereta api KTMB and Prasarana beroperasi seperti biasa esok.

“Kerajaan Madani mempertahankan hak kebebasan berhimpun, termasuk mereka yang tidak sehaluan dengan kerajaan. 

“Kita tidak boleh kembali kepada zaman yang menindas demokrasi sehingga parlimen pun ditutup,” katanya sebentar tadi.

Terdahulu tersebar notis mendakwa dua stesen Komuter di Kuala Lumpur ditutup esok, ketika pembangkang merancangkan demonstrasi besar bagi menjatuhkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Menjawab soalan pengguna, Facebook KTM Berhad menjawab tiada pemakluman rasmi daripada pihak pengurusan setakat ini.

Polis menganggarkan kehadiran boleh mencecah sehingga 20,000 orang sementara pembangkang memetik angka jauh lebih tinggi sehingga sejuta orang.

Dalam kenyataan di media sosial, Loke berkata pengangkutan awam harus terus berfungsi agar majoriti rakyat boleh menjalankan urusan hujung minggu tanpa “diganggu oleh perhimpunan pembangkang”.

Dia malah memberi panduan kepada pengguna untuk masuk ke ibu kota esok.

“Bagi mereka yang akan datang ke ibu kota, jangan lupa Pas MY50 kini boleh diperbaharui secara atas talian melalui aplikasi Touch N' Go. Setiap pas bernilai RM150, pengguna hanya bayar RM50, kerajaan subsidikan RM100.

“Bagi yang datang ke ibu kota buat pertama kali, boleh menikmati perkhidmatan LRT, MRT, BRT, Monorel dan RapidBas tanpa had untuk sehari menggunakan MyCity Pass yang harganya hanya RM6. Pass ini akan kita digitalkan juga pada hujung tahun,” katanya.

Loke menggalakkan peserta perhimpunan esok menggunakan pengangkutan awam supaya kesesakan lalu lintas di ibu kota dapat diminimumkan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS