Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SMM: Kebenaran bersyarat pada syarikat berkait Farhash dibatal
Diterbitkan:  Jul 25, 2025 3:45 PM
Dikemaskini: 8:01 AM

Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM) berkata ia memberikan kebenaran bersyarat untuk memohon lesen cari gali kepada Bumi Suria Sdn Bhd, tetapi ia kemudiannya dibatalkan selepas syarikat itu gagal mengemukakan dokumen yang diperlukan.

Ia berkata pada 24 Mac, selepas syarikat itu gagal memfailkan dokumen yang diperlukan, ia mengeluarkan surat rasmi pembatalan.

Bagaimanapun, kata SMM, MalaysiaNow mengenepikan "fakta" itu dalam laporan mereka.

" SMM mengeluarkan amaran keras kepada mana-mana pihak agar tidak mengulangi atau merujuk kepada laporan MalaysiaNow yang bersifat palsu, mengelirukan dan berunsur fitnah.

"SMM akan teruskan dengan tindakan saman fitnah terhadap MalaysiaNow dan sejurusnya pihak-pihak terlibat," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Ia menuduh MalaysiaNow membuat liputan berat, tidak adil, serta menimbulkan persepsi bahawa ia merupakan satu usaha yang dirancang untuk menjejaskan reputasi dan nama baik SMM termasuk barisan pengarah dan pegawainya.

Semalam, MalaysiaNow menerbitkan klip audio yang dikaitkan dengan dakwaan bahawa lesen cari gali perlombongan arang batu di Sabah telah diluluskan untuk syarikat yang dikaitkan dengan bekas pembantu Perdana Menteri Anwar Ibrahim Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

Pada 21 Julai, portal itu menerbitkan dokumen yang didakwa membuktikan Farhash menerima kebenaran untuk mencari galian merentasi hutan simpan yang besar di Sabah.

Farhash menyifatkan laporan itu sebagai palsu, dan mengeluarkan surat undang-undang terhadap MalaysiaNow serta membuat laporan polis terhadap portal itu.

Bagaimanapun, portal itu menjawab surat undang-undang itu dengan mengatakan bahawa ia tidak akan menarik balik laporan asal mereka.

Mengulas lanjut, SMM mengecam MalaysiaNow kerana menerbitkan rakaman audio yang secara salah menggambarkan suara dalam klip audio itu sebagai milik Ketua Pegawai Eksekutif mereka, Natasha Sim.

Ia juga menjelaskan bahawa peranan SMM terhad kepada mengeluarkan kebenaran bersyarat untuk memohon lesen cari gali.

"SMM tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan lesen mencari gali. Di bawah Sabah Mining Ordinance 1960, Lesen Mencarigali hanya boleh dikeluarkan oleh Jabatan Tanah dan Ukur Sabah (JTU).

"Sehubungan itu, seperti yang telah disahkan oleh pengarah JTU dalam kenyataan media beliau, yang bertarikh 24 Julai 2025, tiada sebarang lesen mencarigali atau apa-apa lesen berkaitan mineral pernah dikeluarkan oleh JTU kepada Bumi Suria Sdn Bhd," tambahnya.

Lesen cari gali mineral Sabah menjadi subjek skandal rasuah besar-besaran, selepas beberapa Adun, termasuk menteri negeri, dirakam dalam video didakwa membincangkan rasuah dengan ahli perniagaan Albert Tei - yang kemudiannya menjadi pemberi maklumat mengenai skandal berkenaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS