PAS hari ini membidas Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kerana lambat menubuhkan suruhanjaya diraja untuk menyiasat kesahihan klip video yang menunjukkan perbualan telefon seorang peguam mengenai pelantikan hakim.

Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar berkata, sepatutnya suruhanjaya tersebut ditubuhkan sejak kes tersebut tercetus pada September lalu.

Katanya, penubuhan panel bebas sia-sia sahaja serta membuang masa dan membazirkan wang.

"PAS dan parti politik pembangkang lain, serta Majlis Peguam, sudah berulangkali mendesak kerajaan menubuhkan suruhanjaya diraja, sebaliknya Abdullah lebih berminat dengan panel bebas.

"PAS tidak setuju kerana panel bebas tiada kuasa. Kini terbukti panel bebas tidak boleh menyelesaikan isu tersebut," katanya dalam sidang media di ibu negara hari ini.

Jumaat lalu, Abdullah mengumumkan penubuhan suruhanjaya diraja untuk menyiasat video klip tersebut.

Mahfuz yang juga bekas ketua Pemuda PAS berkata, kini desakan pihak pembangkang supaya menubuhkan suruhanjaya diraja kerana ia boleh menyelesaikan isu klip video Lingam, terbukti benar.

Panel khas

"Kalau ia ditubuhkan sejak awal-awal lagi, mungkin kita sudah tahu hasilnya," katanya lagi.

Pada 27 September lalu, kerajaan menubuhkan satu panel khas yang dianggotai bekas Hakim Besar Malaya Tan Sri Haidar Mohd Noor selaku pengerusi, aktivis sosial Tan Sri Lee Lam Thye dan bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mahadev Shankar.

Laporan penuh panel khas itu telah dilengkapkan pada 6 November lalu dan telah diserahkan kepada kerajaan.

Klip video itu menunjukkan perbualan telefon peguam Datuk VK Lingam, didakwa dengan Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim, mengenai pelantikan hakim-hakim yang 'sehaluan'.

Ahmad Fairuz, yang merupakan Hakim Besar Malaya ketika klip video itu dikatakan dirakam, telah menafikan sebarang pembabitannya, melalui Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga halehwal perundangan, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz.

Perkhidmatan Ahmad Fairuz sebagai Ketua Hakim Negara berakhir hujung bulan lalu.

Klip video selama lapan minit tersebut didedahkan oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim Anwar 19 September lalu. Menurutnya ianya adalah sebahagian daripada rakaman sepanjang 14 minit.

Menurutnya, baki klip video itu tidak dapat didedahkan lagi bagi melindungi identiti dua pemberi sumber tersebut.

Bekas timbalan perdana menteri itu juga menggesa supaya suruhanjaya diraja ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan dalam klip video itu.