Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
AS ucap terima kasih pada Anwar atas rundingan gencatan senjata
Diterbitkan:  Jul 29, 2025 9:11 AM
Dikemaskini: 1:35 AM

Amerika Syarikat (AS) memuji Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam usaha menjayakan rundingan gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja baru-baru ini.

“Kami berterima kasih kepada Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim atas kepimpinannya dan kerana menganjurkan rundingan gencatan senjata.

“Kami menggesa semua pihak untuk mematuhi komitmen mereka,” kata Setiausaha Negara AS Marco Rubio dalam satu kenyataan semalam.

Semalam, Anwar mengumumkan bahawa Thailand dan Kemboja telah bersetuju dengan gencatan senjata tanpa syarat berkuat kuasa tengah malam semalam, susulan rundingan damai yang diadakan di Putrajaya.

Anwar, sebagai pengerusi Asean, berkata gencatan senjata itu adalah antara persefahaman biasa yang dicapai pada mesyuarat yang dihadiri Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai.

“Perdana Menteri Hun Manet dan pemangku Perdana Menter Phumtham Wechayachai menyatakan pendirian dan kesanggupan mereka untuk gencatan senjata segera dan mengembalikan keadaan kepada normal.

"Presiden AS Donald Trump (juga) telah berhubung dengan pemimpin kedua-dua negara, menggesa para pemimpin mencari penyelesaian secara aman berhubung keadaan itu," kata Anwar semasa sidang media bersama kedua-dua pemimpin itu.

Sehubungan itu, Rubio berkata dia dan Trump komited untuk menghentikan keganasan serta-merta dan mengharapkan kerajaan Kemboja dan Thailand untuk menghormati komitmen mereka menamatkan konflik.

“AS akan terus komited dan terlibat dalam proses anjuran AS-Malaysia ini untuk menamatkan konflik ini,” tambahnya.

Semasa sidang media semalam, Manet dan Wechayachai mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam rundingan itu.

Manet juga mendakwa bahawa ketegangan antara negara jiran Asean telah menyebabkan kira-kira 300,000 orang kehilangan tempat tinggal - 140,000 dari Kemboja dan 160,000 dari Thailand.

Kedua-dua negara jiran Asia Tenggara itu mempunyai sejarah panjang dalam pertikaian diplomatik melibatkan 817 kilometer sempadan yang belum ditanda sepenuhnya.

Ketegangan antara Thailand dan Kemboja mula memuncak sejak 28 Mei susulan pertempuran antara tentera kedua-dua negara berhampiran kawasan sempadan Preah Vihear yang dipertikaikan, mengakibatkan seorang anggota tentera Kemboja terkorban.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS