Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR Maszlee Malik berkata adalah lebih baik PAS menyertai kerajaan perpaduan daripada kekal dengan Perikatan Nasional (PN).
Dia berkata PAS jelas tidak percaya kepada Pengerusi PN Muhyiddin Yassin dan ketua pembangkang Hamzah Zainudin.
Ini berdasarkan kenyataan terbaru Mursyidul Am PAS Hashim Jasin, yang dilaporkan berkata PAS mempunyai ramai pemimpin yang berkebolehan untuk menjadi perdana menteri tetapi hanya akan menamakan calon mereka selepas berkuasa.
"Pakatan seperti ini terlalu rapuh kerana krisis kepercayaan terhadap pemimpin sendiri.
"Seeloknya PAS bersama kerajaan perpaduan untuk menguatkan perdana menteri sedia ada, iaitu Anwar Ibrahim demi rakyat, negara dan ummah sedunia.
"Jika bersama kerajaan perpaduan, peluang wakil PAS untuk menjadi timbalan perdana menteri lebih cerah dan ini akan merancakkan pembangunan negara," kata Maszlee kepada Malaysiakini.
Bekas menteri pendidikan itu diminta menjawab Hashim, yang dipetik akhbar Utusan Malaysia pagi ini sebagai berkata PN perlu diberi mandat untuk memimpin Malaysia terlebih dahulu sebelum mengumumkan calon perdana menteri mereka.
Sambil merujuk kepada era bekas Mursyidul Am PAS Nik Aziz Nik Mat sebagai Menteri Besar Kelantan antara 1990 dan 2013, dia berkata ulama juga telah terbukti berkebolehan sebagai pemimpin negeri.
Sementara itu, Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh tidak terkesan dengan kenyataan Hashim itu.
Sebaliknya, dia mencabar pihak pembangkang menggesa undi tidak percaya terhadap Anwar.
"Silalah buat undi tak percaya di Parlimen dulu," katanya.
