Malaysia selaku Pengerusi Asean ketika ini memainkan peranan utama dalam menggalakkan penyelesaian secara aman dan rundingan diplomatik dalam kalangan negara anggota, menurut Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).
Ketua Pengarah IKIM Prof Madya Datuk Dr Mohamed Azam Mohamed Adil memuji kejayaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi perantara dalam perjanjian gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja.

Beliau berkata pencapaian itu melambangkan komitmen berterusan Malaysia terhadap perpaduan dan kestabilan serantau.
Kebijaksanaan Perdana Menteri menyatukan dua pihak yang bertelagah mencerminkan kepimpinan Islam yang menegakkan keadilan, keamanan dan martabat insan di samping menunjukkan keberkesanan pendekatan diplomasi yang berteraskan kesabaran, hikmah dan ketegasan dalam menangani konflik.
“Kejayaan Malaysia mendamaikan kedua-dua pihak memperlihatkan kepada dunia bahawa kekuatan sebenar tidak terletak pada kuasa ketenteraan tetapai pada prinsip moral, etika dan ketelusan dalam menguruskan konflik. Ini ajaran teras dalam Islam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini
“IKIM menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya bersyukur atas kejayaan ini dan menghargai keamanan sebagai asas kepada pembangunan dan kesejahteraan.
Selain itu, IKIM kekal komited mempromosi nilai-nilai Islam yang mengutamakan perdamaian, persefahaman dan saling menghormati antara semua pihak.
Sebagai institusi di bawah Jabatan Perdana Menteri yang ditubuhkan untuk mempromosi kefahaman sebenar tentang Islam, IKIM yakin kejayaan itu boleh dijadikan contoh kepada masyarakat antarabangsa bagaimana diplomasi berteraskan etika dan nilai mampu menyelesaikan pertikaian.
Ketegangan antara Thailand dan Kemboja memuncak sejak 28 Mei susulan pertempuran antara tentera kedua-dua negara berhampiran kawasan sempadan di Preah Vihear, yang mengorbankan seorang tentera Kemboja.
- Bernama
