Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Trump tandatangan perintah kenakan Brazil tarif 50 peratus
Diterbitkan:  Jul 31, 2025 10:23 AM
Dikemaskini: 2:23 AM

GLOBAL | Presiden AS Donald Trump menandatangani perintah eksekutif baru yang mengenakan tarif 50 peratus ke atas eksport Brazil, dengan pengecualian diberikan kepada beberapa produk terpilih, lapor Anadolu Ajansi.

Rumah Putih dalam kenyataannya berkata keputusan itu bertujuan menangani “dasar, amalan dan tindakan terkini” oleh Brasilia yang didakwa membentuk ancaman luar biasa terhadap keselamatan negara, dasar luar dan ekonomi AS.

Langkah itu dibuat ketika perbicaraan terhadap bekas Presiden Brazil, Jair Bolsonaro, sedang berlangsung. Dia merupakan sekutu politik rapat Trump yang berdepan tuduhan cuba merancang rampasan kuasa.

Perintah Trump itu menggambarkan prosiding undang-undang berkenaan sebagai penganiayaan politik, dengan menegaskan bahawa Bolsonaro dituduh secara tidak adil atas beberapa kesalahan.

Walaupun tarif yang dikenakan bersifat menyeluruh, perintah itu mengecualikan beberapa produk termasuk pesawat awam dan komponennya — dijangka memberi manfaat kepada syarikat aeroangkasa Brazil, Embraer — serta pulpa kayu, logam berharga, produk tenaga, baja dan jus oren.

Tarif berkenaan dijadual berkuat kuasa pada 6 Ogos selepas tempoh pelaksanaan selama tujuh hari.

Trump sebelum ini memberi amaran untuk mengenakan tarif 50 peratus sekiranya Presiden Luiz Inacio Lula da Silva tidak menghentikan perbicaraan terhadap Bolsonaro.

Bernama/Anadolu


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS