Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Inti pati Rancangan Malaysia ke-13
Diterbitkan:  Jul 31, 2025 1:16 PM
Dikemaskini: 8:45 AM

Berikut antara inti pati ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) 2026-2030 bertemakan Melakar Semula Pembangunan di Dewan Rakyat hari ini.

  • Presiden Amerika Syarikat Donald J Trump memutuskan untuk menyemak semula kadar tarif yang akan dikenakan ke atas Malaysia selewat-lewatnya esok.

  • Presiden Amerika Syarikat Donald J. Trump mengesahkan akan hadir ke Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di Kuala Lumpur pada Oktober ini.

  • RMK13 akan menumpukan kepada tiga kebijakan utama iaitu:

Pertama - Tatakelola baik. Kerajaan Madani meneruskan usaha memperkukuh integriti dan akauntabiliti, mempertingkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam serta memantapkan pengurusan fiskal.

Kedua - Meningkatkan kerencaman ekonomi secara menyeluruh kepada penciptaan nilai dalam semua sektor ekonomi.

Ketiga - Pembangunan yang terangkum dan responsif dengan keutamaan untuk menaikkan lantai dan darjat kehidupan rakyat.

  • Dalam tempoh RMK13, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar disasarkan antara 4.5 peratus hingga 5.5 peratus setahun, diterajui oleh permintaan domestik, terutama penggunaan dan pelaburan swasta.

  • Bagi menjayakan RMK13, pelaburan sebanyak RM611 bilion perlu disediakan.

  • Sektor pendidikan menerima RM67 bilion, manakala sektor kesihatan diperuntukkan RM40 bilion.

  • RM51 bilion diperuntukan untuk sektor keselamatan manakala sektor pentadbiran akan menerima RM17 bilion.

  • Penambahbaikan tatakelola ditumpukan kepada tiga aspek iaitu menginstitusikan kerajaan yang cekap dan berkesan, menyediakan perkhidmatan berpaksikan rakyat serta memastikan kekuatan fiskal dan impak perbelanjaan negara sampai kepada golongan sasar.

  • Kerajaan Madani komited memperkukuh ekosistem tadbir urus melalui reformasi perundangan dan institusi termasuk Parlimen, pengukuhan mekanisme pemantauan dan penerapan nilai integriti.

  • Pembaharuan menyeluruh akan dilaksanakan melalui penguatkuasaan Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 dengan keutamaan kepada usaha mengurangkan beban kawal selia.

  • MyDigital ID akan diperkenalkan sebagai kunci pengesahan identiti digital tunggal yang selamat dan sahih, bagi memudahkan akses kepada pelbagai kemudahan awam dalam talian.

  • Melalui GovTech juga, sistem kehakiman negara termasuk Mahkamah Syariah akan ditambah baik.

  • Penjawat awam akan diberikan latihan intensif dalam bidang digital dan AI bagi memperkasakan bakat digital negara dan memanfaatkan analitik data raya.

  • 95 peratus perkhidmatan Kerajaan Persekutuan dilaksanakan secara dalam talian sepenuhnya menjelang tahun 2030.

  • Pendekatan berfokus dan usaha berterusan untuk pastikan Malaysia mencapai kedudukan 20 terbaik dunia dalam Online Service Index (UN e-Government Development Index) serta mengekalkan Kategori A dalam GovTech Maturity Index.

  • Program Madani Rakyat diteruskan sebagai medan untuk pemimpin turun padang bagi mendekati dan mendengar sendiri keluh kesah rakyat.

  • Sesi libat urus Perdana Menteri melibatkan semua kerajaan Negeri termasuk yang berbeza haluan politik diteruskan.

  • Inisiatif Kemudahan Rakyat diteruskan untuk membolehkan permohonan terus peruntukan bagi menambah baik infrastruktur asas di kawasan masing-masing.

  • Ekosistem persaingan akan diperkukuh melalui rangka perundangan baharu berkaitan aktiviti rent-seeking bagi memastikan rentseekers dapat dibanteras secara lebih tegas dan berkesan.

  • Reformasi fiskal akan diteruskan demi memastikan bantuan yang disalurkan benar-benar sampai kepada rakyat yang paling memerlukan.

  • Aspirasi Malaysia untuk muncul sebagai negara berpendapatan tinggi dan tergolong dalam 30 ekonomi utama dunia menjelang tahun 2030.

  • Malaysia menetapkan hala tuju jelas untuk menerajui ekonomi Asia Tenggara dalam AI, teknologi digital dan industri tenaga boleh baharu.

  • Penerapan inovasi teknologi tempatan akan diberi tumpuan bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi.

  • Aktiviti penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan, dan inovasi (RDCI) akan dipergiat bagi meningkatkan produk dan perkhidmatan berasaskan "Made by Malaysia".

  • Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2030 memacu pembangunan bakat tempatan, penyelidikan dan pengkomersialan teknologi bagi menyokong adaptasi AI secara meluas.

  • Jaringan 5G disasar mencapai 98 peratus liputan di kawasan berpenduduk dan perindustrian termasuk desa menjelang 2030, sasar hasilkan sekurang-kurangnya 5,000 usahawan digital.

  • Strategi kepercayaan digital dan keselamatan data nasional akan dilancarkan untuk melindungi data peribadi, menangani ancaman siber serta memastikan keselamatan ekosistem dan kedaulatan digital negara.

  • Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara, Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) serta Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia diberi keutamaan.

  • Inisiatif Pengenalan Identiti Digital Perniagaan dan penggunaan digital twin menjadi ikhtiar penting dalam meningkatkan daya saing dan inovasi pemain industri.

  • Literasi AI seawal peringkat rendah dilaksanakan, memperluas harta intelek tempatan, meningkatkan suntikan dana strategik dan menggalakkan kolaborasi rentas sektor.

  • Inisiatif solar terapung hibrid hidro dan hab hidrogen hijau di Kenyir akan diperluas sebagai model tenaga hijau bersepadu, kerajaan pertimbang tenaga nuklear sebagai salah satu sumber tenaga bersih.

  • Pembinaan loji waste-to-energy akan diperluas melalui kerjasama swasta untuk mengurangkan kebergantungan kepada tapak pelupusan.

  • Pelan Transformasi Sektor Air 2040 (AIR2040) diteruskan, tumpuan kepada mempergiat pembangunan dan inovasi teknologi air tempatan yang cekap.

  • Kerangka perundangan maritim negara akan disemak dan ditambah baik agar lebih relevan dan berdaya saing.

  • Aktiviti penangkapan ikan secara tidak sah, tidak dilapor dan tidak dikawal akan dibanteras, manakala sistem tagal atau tagang diperluas sebagai amalan lestari.

  • Tumpuan akan diberikan kepada inisiatif pembangunan zon pelaburan pelancongan (STIZ) khususnya di Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Sarawak, pemangkin penciptaan produk pelancongan baharu.

  • Inisiatif Warisan Kuala Lumpur akan dipulihara dan dipelihara, industri inap desa diperkasa bagi melebarkan limpahan ekonomi sehingga ke desa.

  • Tahun Melawat Malaysia 2026 menjadi pemangkin penting ke arah mencapai sasaran sumbangan sektor pelancongan sebanyak 16 peratus kepada KDNK sepanjang tempoh RMK13.

  • Kerajaan komited memacu pertumbuhan ekonomi jingga (creative industry) melalui industri kreatif digital yang berpotensi tinggi, Dana Padanan dan Dana Produksi Bersama akan dilaksanakan.

  • Pembangunan bakat akan diperkukuh menerusi program industry bridging, peluasan inisiatif Train the Trainer serta pelaksanaan Junior Animator Apprenticeship.

  • Pembangunan modal insan berkemahiran tinggi jadi agenda utama negara, pengukuhan dan penyelarasan antara agensi terus dipergiat.

  • Penawaran program TVET distrategikan semula, penekanan kepada sektor pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV) dan berasaskan teknologi termaju.

  • Malaysia sasar pewujudan 700,000 peluang pekerjaan baharu dalam sektor pembuatan dan 500,000 lagi penciptaan karier dalam bidang ekonomi digital dalam tempoh RMK13.

  • Skim Pembiayaan Perkasa TVET MADANI dan Dana Latihan TVET akan diperkenal, penawaran program TVET diperluas kepada pelajar tahfiz.

  • Pelaburan berimpak tinggi diperluas ke luar beberapa kawasan tumpuan utama antaranya di Chuping, Perlis; Kota Kinabalu, Sabah; Kerian, Perak dan Tok Bali, Kelantan.

  • Pembangunan infrastruktur berskala besar kekal sebagai keutamaan demi memperkukuh keterhubungan antara wilayah serta merangsang pertumbuhan kawasan sekitar secara terancang.

  • Tambahan 300 unit van DRT dan 1,200 bas bagi meningkatkan ketersambungan batuan pertama dan akhir, kekerapan perkhidmatan tren penumpang ditingkatkan melalui penambahan 217 set tren penumpang.

  • Naik taraf laluan sedia ada dan pembinaan jalan baharu diteruskan untuk memastikan akses yang lebih lancar.

  • Pembinaan dan naik taraf jalan luar bandar sepanjang 2,800 km dilaksanakan dalam tempoh RMK13 antaranya di Sarawak, Perak dan Pahang.

  • Inisiatif road-to-rail bagi memindahkan pergerakan kargo daripada jalan raya ke landasan, kurangkan risiko kemalangan jalan raya.

  • Kerajaan akan memberi tumpuan khusus untuk memposisikan Sabah dan Sarawak sebagai hab tenaga mampan negara yang berdaya saing di peringkat serantau.

  • Pembangunan negeri-negeri pantai timur dipacu melalui pewujudan hab pengeluaran makanan negara yang bersepadu dan berdaya saing.

  • Kerajaan menyasarkan pelaksanaan 200 Kampung Angkat Madani dan 1,000 Sekolah Angkat Madani.

  • Kerajaan meneruskan pelaksanaan projek infrastruktur bagi memperkukuh keterhubungan dan ekonomi rentas sempadan.

  • Projek menaik taraf Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dan Rantau Panjang serta Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Sabah dan Sarawak diteruskan.

  • Inisiatif seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) diteruskan bagi mengurang beban perbelanjaan susulan kenaikan kos sara hidup.

  • Payung Rahmah akan dipergiat melalui program-program utama seperti Jualan Rahmah, Menu dan Kafe Rahmah serta Bakul Rahmah.

  • Kerajaan akan meningkatkan pemantauan dan kawalan harga makanan bagi memastikan ketelusan harga di sepanjang rantaian bekalan.

  • 17 bentuk bantuan diperkenalkan kepada pelajar seawal peringkat prasekolah hingga menengah agar tidak keciciran daripada mendapat akses makanan yang sihat dan berkhasiat.

  • Pakej Rahmah untuk perkhidmatan internet serta insurans dan takaful yang lebih mampu dibayar diteruskan.

  • Pas perjalanan bulanan dan pas perjalanan khas kepada pelajar, warga emas dan OKU serta program subsidi tiket penerbangan udara kepada pelajar diteruskan.

  • Nilai adab, kerohanian dan kemanusiaan berasaskan Maqasid Syariah dan semangat patriotisme akan terus diperkuat sebagai asas pembentukan insan MADANI.

  • Program seperti Kembara Perpaduan Malaysia diteruskan untuk mendekatkan masyarakat berbilang latar melalui pendidikan nilai dan dialog terbuka rentas budaya.

  • Piagam Harmoni Malaysia akan dibangunkan sebagai panduan utama bagi perhubungan dan keharmonian antara agama dan kaum di Malaysia.

  • Program Latihan Khidmat Negara dilaksanakan dengan pembaharuan selari kehendak semasa, identiti nasional akan diperkukuh melalui kefahaman dan semangat kebersamaan.

  • Sebanyak RM67 bilion diperuntukkan bagi sektor pendidikan antaranya untuk membina sekolah baharu.

  • Pembinaan sekolah dijadikan syarat Kebenaran Merancang bagi projek perumahan berskala besar yang baharu, pembinaan sekolah vertikal diperluas bagi menangani isu kepadatan pelajar dan ketiadaan tapak.

  • Kerajaan tekad memastikan kadar enrolmen murid prasekolah dan menengah mencapai 98 peratus, melebihi kadar enrolmen sejagat.

  • Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terus diguna pakai untuk menilai keberkesanan dasar, kurikulum dan pendekatan pedagogi sistem pendidikan.

  • Kualiti pendidikan negara ditingkatkan berdasarkan penilaian Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA) dan Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS).

  • Kerajaan sedang bergerak ke arah mewajibkan prasekolah bermula umur 5 tahun, lebih banyak kemudahan prasekolah kelolaan Kementerian Pendidikan akan disediakan terutama di kawasan desa.

  • Kerajaan akan melaksanakan kajian semula ke atas waktu persekolahan optimum, menilai keberkesanan sekolah khusus serta menambah baik model pendidikan bagi murid pintar cerdas dan berbakat.

  • Penguasaan Bahasa Melayu di semua peringkat diperkasa, Bahasa Inggeris dijadikan sebahagian daripada bahasa pembelajaran dan perhubungan manakala pembelajaran bahasa tambahan turut diperluas.

  • Kementerian Pendidikan bertanggungjawab sepenuhnya mengawal selia pendidikan prasekolah hingga menengah manakala pendidikan prauniversiti dan pengajian tinggi diselaras oleh Kementerian Pendidikan Tinggi.

  • Majlis Pendidikan Negara akan ditubuhkan untuk menyelaras, memantau serta merangka tindakan intervensi yang bersesuaian.

  • Kerajaan akan melaksanakan projek rintis pemberian autonomi kepada universiti awam yang terpilih bagi memperkukuh tadbir urus institusi pengajian tinggi.

  • Mekanisme pengambilan guru daripada pelbagai sumber secara terbuka akan ditambah baik, pastikan peluang disediakan kepada calon yang benar-benar layak.

  • Hubungan baik dengan semua negara terus dieratkan, penglibatan aktif Malaysia dengan APEC, BRICS dan negara selatan-selatan turut diperkukuh.

  • Malaysia sedia jadi jambatan dan suara dunia membangun pada peringkat global.

  • Malaysia akan menjadi tuan rumah Sukan SEA 2027 dan beberapa kejohanan antarabangsa yang lain dalam tempoh lima tahun akan datang.

  • Penghasilan produk makanan dalam negara akan dipertingkat, pertanian berskala besar dibangunkan di Kelantan, Pahang, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

  • Program penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun dipercepat dan diperluas, pemindahan teknologi diberi keutamaan, adaptasi pertanian pintar dan ladang satelit dipergiat.

  • Sumber import makanan akan dipelbagaikan, kawal selia kemasukan makanan ke dalam negara akan diperkukuh.

  • 1 juta unit rumah mampu milik akan dibina oleh Kerajaan Persekutuan dan Negeri serta pemaju swasta dalam tempoh 2026 hingga 2035.

  • Inisiatif seperti Skim Jaminan Kredit Perumahan dan Skim Sewa untuk Beli (RTO) akan diperluas, bolehkan lebih ramai rakyat mampu memiliki rumah sendiri.

  • Inisiatif seperti Kota Madani di Putrajaya akan diperluas sebagai model pembangunan perumahan mampu milik yang menterjemah konsep perbandaran ‘umran hadhari.

  • Pembuatan ubat domestik akan digalakkan dan penggunaan ubat generik oleh sektor awam dan swasta akan ditingkatkan.

  • Cukai prokesihatan diperluas daripada gula kepada produk seperti tembakau, vape dan alkohol, dorong perubahan tingkah laku dan membendung peningkatan penyakit tidak berjangkit NCD.

  • Sektor kesihatan terima peruntukan sebanyak RM40 bilion dalam tempoh RMK13 termasuk bagi mengurangkan perbelanjaan rakyat untuk perkhidmatan penjagaan kesihatan.

  • Lebih banyak projek pembinaan serta naik taraf hospital dan klinik Kerajaan termasuk yang daif akan dilaksanakan.

  • Rangka kerja pembangunan profesional sektor kesihatan peringkat kebangsaan akan dibangunkan untuk menangani isu keperluan sumber manusia.

  • Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara akan diwartakan bagi mengawal selia tindakan iklim negara, Pelan Adaptasi Kebangsaan akan diperkenalkan.

  • Pelan pengurusan risiko bencana akan dimasukkan dalam Rancangan Struktur Negeri dan Rancangan Tempatan.

  • Risiko dan impak banjir akan dikurangkan antaranya melalui projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) dengan peruntukan lebih RM20 bilion bagi melaksanakan 103 projek.

  • Kesiapsiagaan mendepani ancaman kedaulatan dan keselamatan di Laut China Selatan akan diperhebat manakala proses keimigresenan dipercekap melalui Sistem Imigresen Bersepadu Nasional lebih moden.

  • Rangka Tindakan Penuaan Kebangsaan 2025-2045 digubal sebagai panduan menyeluruh bagi persediaan menghadapi cabaran penuaan negara.

  • RMK13 memberi penekanan kepada penyediaan ekosistem perkhidmatan penjagaan jangka panjang (LTC) yang lebih cekap dan mampan.

  • Instrumen perundangan akan digubal bagi memastikan keseragaman dasar dan peraturan penjagaan bagi menghadapi cabaran penuaan negara.

  • Insentif perlindungan sosial dan faedah akan disediakan kepada penjaga serta pekerja perkhidmatan LTC bagi memartabatkan sektor penjagaan sebagai kerjaya berpotensi tinggi.

  • Kurikulum TVET akan diperluas merangkumi bidang penuaan, dengan insentif khas kepada pelajar yang menjalani latihan industri.

  • Melalui Program SejaTi Madani, dana sehingga RM100,000 diberikan kepada komuniti yang layak bagi meningkatkan pendapatan dan merancakkan kegiatan ekonomi setempat.

  • Program TVET Madani akan diperkasa bagi meningkatkan penguasaan kemahiran yang boleh menjana pendapatan lebih tinggi termasuk kepada pelajar tahfiz dan huffaz.

  • Tahap pensijilan TVET akan ditingkatkan agar setara dengan tahap kelayakan pengajian tinggi di bawah Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF).

  • Penyelarasan gaji secara menyeluruh akan dipercepat bagi memastikan pekerja menikmati perkongsian ekonomi yang lebih adil dan saksama.

  • Kadar gaji minimum akan diperluas kepada graduan dan pekerja separa mahir, termasuk lepasan program TVET.

  • Peranan Majlis Perundingan Gaji Negara akan diperkasa, portal e-MASCO ditambah baik sebagai instrumen pemantauan kadar gaji yang lebih telus dan responsif.

  • Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja akan diperluas bagi menyediakan perlindungan insurans sosial menyeluruh termasuk di luar waktu kerja.

  • Jumlah pekerja asing dikurangkan daripada 15 peratus sedia ada kepada 10 peratus menjelang 2030, pelaksanaan Mekanisme Levi Pelbagai Peringkat akan dikuatkuasakan.

  • Program Gate to Global (GTG) akan terus dipergiat bagi mengangkat daya saing usahawan bumiputera di pasaran antarabangsa.

  • Pembangunan sosioekonomi Anak Negeri Sabah dan Bumiputera Sarawak akan diperkukuh, peluang perniagaan dipeluas.

  • Akta Orang Asli 1954 [Akta 134] akan disemak semula bagi menambah baik perlindungan hak dan darjat komuniti berkenaan, sekolah berasaskan komuniti akan diperluas.

  • Tahap sosioekonomi Kampung Baru Cina akan diperkukuh menerusi pelaksanaan Pelan Induk Pembangunan Kampung Baru.

  • Inisiatif baik pulih rumah serta pemantapan tatakelola pengurusan masyarakat India akan dilaksanakan.

  • Infrastruktur dan kemudahan awam akan ditambah baik untuk meningkatkan akses jaringan sosial dan peningkatan kualiti hidup masyarakat Cina dan India termasuk wanita, belia dan warga berusia.

  • Pusat penjagaan berkualiti akan diperluas dan latihan bersesuaian akan disediakan bagi menyokong peningkatan kadar penyertaan wanita dalam pasaran kerja kepada 60 peratus.

  • Projek pembinaan blok Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di 34 buah sekolah sedia ada akan diteruskan.

  • Sokongan dan latihan mencukupi melalui program Akademi Dalam Industri (ADI), Pelan Tindakan OKU Kebangsaan dan insentif kepada majikan untuk meningkatkan penyertaan warga emas, Orang Asli dan OKU dalam pasaran kerja.

  • Had umur persaraan wajib akan diteliti semula untuk disesuaikan dengan peralihan kepada negara tua.

  • Kerajaan akan memperkasa sektor ketiga, sumber pembiayaan alternatif diperluas.

  • Mekanisme pemantauan RMK13 ditambah baik melalui Sistem Pemantauan PPD, struktur tadbir urus digerakkan secara berperingkat sehingga pelaporan ke Jemaah Menteri.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS