Paling Popular
Terkini

Selepas 10 bulan, penggantungan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) susulan konflik dalaman masih berkuat kuasa.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu mengesahkan perkara itu di Dewan Rakyat hari ini.

"Sehingga kini tempoh penggantungan Nafas masih berkuat kuasa.

"Pendaftar Pertubuhan Peladang memantau urusan harian Nafas serta menjalankan siasatan berhubung isu-isu dikenal pasti di samping menambah baik urusan tatakelola Nafas bagi memperkasakan semula Nafas secara menyeluruh," katanya.

Mohamad Sabu

Terdahulu, Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) minta kementerian menyatakan apakah status terkini penggantungan perlembagaan Nafas sejak 1 November 2024 dan apakah pembaharuan yang telah dilaksanakan dalam perlembagaan baru.

Mohamad berkata Nafas kini ditadbir oleh pentadbiran dilantik oleh Pendaftar Pertubuhan Peladang.

"Pendaftar telah melantik Majlis Penasihat Nafas yang dianggotai oleh lima ahli profesional yang berpengalaman dalam bidang tadbir urus serta pengurusan kerajaan.

"Majlis ini berperanan untuk menilai semula setiap aspek pengurusan dan perniagaan Nafas termasuk subsidiary untuk memastikan tindakan pembetulan bersifat menyeluruh berasaskan fakta dan menjurus kepada pemulihan institusi secara berstruktur serta berintegriti," katanya.

Pada 1 Nov tahun lepas, Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Amir Matamin berkata selaku Pendaftar Pertubuhan Peladang, dia mengeluarkan arahan penggantungan Nafas bawah Seksyen 20 (1) Akta Pertubuhan Peladang 1973 (Akta 109), susulan konflik dalaman dan ketidakharmonian yang menjejaskan operasi dan fungsi Nafas.

Bagaimanapun dia berkata Nafas masih terus beroperasi seperti biasa, dengan kakitangan dan pegawai sedia ada akan meneruskan sebarang urusan bawah arahan pentadbir.

Amir juga berkata pihaknya menyerahkan siasatan penyelewengan dan ketirisan projek pembekalan baja padi kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Azam Baki sebelum ini mengesahkan pihaknya memulakan siasatan dan pembongkaran berhubung penyelewengan dan ketirisan projek pembekalan baja padi sebuah pertubuhan di bawah kementerian terbabit.

Nafas ditubuhkan 1972 sebagai badan induk kepada rantaian pertubuhan peladang yang memayungi pertubuhan peladang negeri, pertubuhan peladang kawasan dan lebih 600,000 anggotanya.

Badan itu juga merupakan pembekal utama baja kepada petani di Malaysia.


*Laporan oleh Alyaa Alhadjri, Qistina Nadia Dzulqarnain, B Nantha Kumar


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS