Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ram tak marah diberi sisa tulang, maafkan perbuatan adik-adik
Diterbitkan:  Aug 7, 2025 12:21 PM
Dikemaskini: 4:49 AM

Seorang gelandangan di Johor Bahru, yang tular video dia diberi makan sisa makanan dan tulang ayam, tidak marah dengan perbuatan itu.

Lelaki 49 tahun di Jalan Meldrum itu, yang hanya dikenali sebagai Ram (bukan nama sebenar) juga berkata, dia tidak pasti tujuan mereka berbuat demikian.

"Saya terkial-kial apabila disapa oleh tiga remaja itu kerana masih baring ketika itu dan tidak sangka bungkusan mereka bawa itu adalah sisa makanan.

"Terkejut (saya) apabila mendapati bungkusan itu ada sisa makanan, tapi tak marah sebaliknya hanya ucapkan terima kasih kepada mereka.

“Ketika itu juga, mereka beri bungkusan berbeza mengandungi makanan,” katanya yang dipetik oleh portal Berita Harian.

Ram juga berkata, dia hanya menyedari video tular itu selepas dimaklumkan pengunjung kawasan ini yang turut kecewa dengan perbuatan tersebut.

Video berdurasi kurang seminit itu memaparkan tiga remaja berkenaan menikmati ayam goreng di sebuah restoran makanan segera sebelum meletakkan tulang ke dalam bungkusan dan kemudian menyerahkan sisa makanan kepada lelaki berkenaan.

Dalam video itu, wajah Ram kelihatan terkejut apabila membuka bungkusan dan melihat kandungannya, namun tetap mengucapkan terima kasih.

"Saya maafkan perbuatan mereka dan berharap ia tidak berulang kepada gelandangan lain.

“Selepas kejadian itu, beberapa penduduk datang jumpa saya, bagi makanan dan bertanya khabar, malah ada yang mohon maaf atas perbuatan tiga remaja itu," katanya lagi .

Portal Berita Harian juga memetik penganggur yang fasih berbahasa Inggeris berasal dari Perak itu sebagai memberitahu bahawa dia sudah lama bergelandangan.

Dia juga dilaporkan berkata dia memandang positif apa yang berlaku dan menganggap kumpulan remaja terbabit sebagai adik serta berharap isu berkenaan diselesaikan dengan baik.

Seorang daripada remaja berkenaan kemudian memohon maaf atas tindakan yang mengundang kecaman warga maya itu.

Sementara itu, Bernama melaporkan tiga iremaja yang memberi sisa makanan kepada seorang gelandangan baru-baru ini dibebaskan dengan jaminan polis petang semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohamad Hatta Che Din berkata remaja lelaki berusia 14, 18 dan 19 tahun itu dibawa dari Johor untuk direman di Seremban pada Selasa bagi proses rakaman keterangan.

“Terdapat laporan polis dibuat di daerah ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya kepada pemberita di Seremban hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah merakam keterangan tiga individu dipercayai pempengaruh media sosial berhubung penyebaran video yang memaparkan mereka memberi sisa makanan kepada seorang gelandangan.

MCMC dalam kenyataan memaklumkan rakaman keterangan dan siasatan lanjut berhubung perkara itu telah dijalankan di Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri, Johor pada 5 Ogos selain menyita tiga telefon bimbit dan tiga kad SIM bagi membantu siasatan.

Menurut MCMC, kandungan video itu dipercayai bersifat jelik melampau dan telah mencetuskan kemarahan serta kecaman meluas dalam kalangan netizen selain menyentuh sensitiviti masyarakat majmuk di negara ini.

Kenyataan itu memaklumkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM500,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tinjauan Bernama di platform TikTok mendapati video berdurasi hampir dua minit itu, yang dimuat naik oleh beberapa pemilik akaun memaparkan tiga remaja lelaki dipercayai memberikan nasi bersama tulang ayam kepada seorang gelandangan yang tidur di kaki lima.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS