Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Saksi penting kes rasuah mohon perlindungan polis
Diterbitkan:  Aug 7, 2025 7:45 PM
Dikemaskini: 2:36 PM

Saksi penting dalam perbicaraan kes rasuah yang mengalami kecederaan selepas didakwa disamun berkumpulan semalam, G Gnanaraja menegaskan dia akan tetap bercakap benar di mahkamah.

Ini selepas saksi utama dalam perbicaraan Lim Guan Eng itu mendakwa insiden semalam sebagai ugutan terhadap dirinya.

"Apa pun berlaku daripada insiden semalam, saya perlu bercakap benar. Saya perlu ke mahkamah.

"Saya tidak tahu siapa di belakang insiden ini. Saya akan tetap menegakkan keadilan," katanya kepada Malaysiakini.

Terdahulu hari ini, Bernama melaporkan peguam Gnanaraja, RT Rajasekaran berkata pihaknya akan memohon perlindungan rasmi daripada polis sementara siasatan penuh dijalankan berhubung insiden tersebut.

"Kes ini masih dalam siasatan dan kami bimbang ia mempunyai kaitan dengan peranan anak guam saya sebagai saksi penting pendakwaan dalam kes rasuah yang sedang berlangsung di mahkamah.

"Kami percaya polis akan menjalankan tugas dengan profesional dan kami menyeru agar tiada spekulasi atau naratif awal dibuat sebelum siasatan selesai,” katanya seperti dipetik. 

Menurut laporan itu lagi, Gnanaraja memohon agar polis memberikan perlindungan kepada keluarganya.

Dalam kejadian awal pagi semalam, katanya lagi, sekumpulan individu bertopeng dan bersenjatakan parang memecah masuk rumahnya semasa dia hendak keluar bekerja.

"Seorang daripada individu yang menceroboh masuk ke rumah telah melibas parang ke arah mulut dan tangan saya, serta memberi ugutan supaya jangan buka mulut dan jangan menjadi hero.

"Dalam kejadian itu terdapat juga beberapa barang peribadi telah dibawa lari oleh mereka.

"Saya baru saja memberi keterangan sebagai saksi pada 22 Julai lepas dan dijadualkan akan menyambung keterangan pada 19 Ogos ini berkaitan kes melibatkan bekas ketua menteri.

"Selepas kejadian itu, saya dan keluarga berada dalam ketakutan,” katanya.

Gnanaraja berkata dia menerima rawatan serta lima jahitan di tangan kiri di sebuah hospital swasta.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS