Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bukit Aman siasat ketua pemuda Bersatu
Diterbitkan:  Aug 8, 2025 1:37 PM
Dikemaskini: 7:22 AM

Pemuda Bersatu (Armada) mengecam tindakan polis menyiasat ketuanya Hilman Idham berhubung protes menolak Akta Hasutan 1948 di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur pada 29 Julai.

Ketua Penerangan Pemuda Bersatu, Harris Idaham Rashid berkata, Adun Gombak Setia itu telah menerima panggilan daripada Pegawai Unit Siasatan Jenayah Terkelas PDRM, Bukit Aman.

Susulan itu Hilman telah dipanggil untuk hadir ke Bukit Aman bagi tujuan siasatan pada 11 Ogos.

"Armada menyelar siasatan ini yang boleh disifatkan sebagai tekanan dan intimidasi politik pasca Himpunan Turun Anwar. 

"Bersatu dan seluruh kepimpinan Armada akan terus berdiri teguh bersama YB Hilman  dan berharap agar proses siasatan akan berjalan dengan lancar mengikut lunas undang-undang," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Harris Idaham Rashid

Harris Idaham berkata mereka dimaklumkan bahawa kertas siasatan dibuka bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. 

Malaysiakini difahamkan dalam protes itu Hilman mendakwa penahanan dua pemimpin akar umbi parti itu sebelum ini diarahkan oleh Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.

Sebelum ini dua pemimpin akar umbi Bersatu termasuk Ketua Bersatu Port Dickson, Badrul Hisham Shahrin, ditahan polis selepas Himpunan Turun Anwar.

Badrul Hisham disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil (tingkah laku menghina), Seksyen 504 Kanun Keseksaan (menghina dengan sengaja dengan niat untuk mencetuskan pecah keamanan), Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia dan Seksyen 4(1) Akta Hasutan.

Ketua Polis Negara Khalid Ismail mengesahkan penahanan itu bertujuan bagi menyiasat satu insiden semasa perhimpunan Turun Anwar yang menyaksikan beberapa individu dilihat merotan patung menyerupai Anwar.

Khalid berkata susulan itu dua lelaki, berusia 21 dan 47 tahun, telah ditahan untuk membantu siasatan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS