Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kematian Zara Qairina: KPM jamin tak lindungi sesiapa

PARLIMEN | Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak akan berkompromi dengan punca kematian murid tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir, serta berjanji tidak akan melindungi mana-mana pihak terbabit.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, berkata KPM sedia memberi kerjasama kepada pihak polis bagi membantu siasatan.

Buat masa ini, katanya, kementerian terbabit menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan penuh berhubung kes berkenaan.

"KPM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana isu yang berkaitan dengan isu buli. KPM tidak pernah dan tidak akan melindungi sesiapa pun.

"Seperti yang dikatakan pada semua peringkat dan pada setiap masa, KPM telah dan bersedia untuk bekerjasama dengan pihak polis untuk membantu segala (aspek) siasatan dalam kes berkenaan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Wong berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Mohd Shafie Apdal (Warisan-Semporna) yang bertanya perkembangan kes Zara Qairina yang ketika ini mendapat perhatian ramai.

Dia juga berharap tiada sebarang cubaan untuk melindungi pihak tertentu.

Semalam, jenazah Zara Qairina selesai dibedah siasat di Hospital Queen Elizabeth I kira-kira jam 7.30 malam.

Jenazah arwah kemudiannya dibawa keluar sekitar jam 9.30 malam untuk dihantar ke kembali ke Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Kampung Mesapol, Sipitang yang terletak kira-kira 130 kilometer dari Kota Kinabalu untuk dikebumikan semula.

Jumaat lalu, Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan mayat Zara Qairina perlu digali semula bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan terhadap jenazah pelajar berkenaan.

AGC berpendapat ada keperluan untuk siasatan lanjut dibuat oleh polis demi memastikan segala aspek siasatan dapat dilaksanakan dengan menyeluruh.

Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu pada 17 Julai lalu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS