Pemimpin utama Suqiu merupakan generasi tua yang tidak begitu fasih berbahasa Melayu tetapi mampu berbahasa Inggeris dan Mandarin.

Walaupun jujur mendukung pembangunan masyarakat madani di negara ini, mereka kurang terdedah kepada perkembangan terkini politik tanahair, khususnya sejak gelombang reformasi 1998.

Mereka masih lagi merujuk akhbar rasmi Berita Harian dan Utusan Malaysia dan tidak pernah membaca Detik , Harakah , Berita Keadilan atau bahan-bahan terbitan bebas berbahasa Melayu. Mungkin kebanyakan mereka tidak biasa melayari laman web, apatah lagi mengunjungi Harakahdaily.com atau Malaysiakini.com .

Bayang-bayang lama seperti "rusuhan antara kaum" dan kurang pendedahan terhadap isu-isu baru dan pemikiran reformasi menyebabkan pemimpin Suqiu mudah dimanipulasi oleh pemimpin Barisan Nasional terutama MCA, Gerakan dan polis Cawangan Khas (SB).

Tambahan pula retorika "perpaduan Melayu" mula dilaung-laungkan oleh akhbar utama Melayu. Pemimpin Suqiu melihat PAS dan Parti Keadilan Nasional mudah terbawa-bawa oleh gimik politik Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad. Maka, pemimpin Cina itu semakin yakin bahawa tindakan mengendurkan "ketegangan" - seperti digembar-gemburkan oleh dua akhbar harian Melayu itu - dengan mengamalkan "strategi berundur" merupakan jalan penyelesaian yang terbaik.

Bagaimanapun tindakan Suqiu bukanlah mudah diterima, termasuklah di kalangan pemimpinnya sendiri. Tindakan berundur itu boleh ditafsirkan sebagai tunduk kepada tekanan, tidak tegas berprinsip dan boleh menyemarakkan lagi api politik perkauman. Ibarat pepatah "pisau yang telah membunuh bagi kali pertama akan membunuh lagi; harimau yang biasa menjamah daging manusia akan kembali membaham."

Walau wakil-wakil Suqiu cuba menafsirkan persetujuan "mengetepikan" tujuh tuntutan tersebut bukan bermakna tunduk kepada Pemuda Umno, tetapi ternyata pakar-pakar propaganda akhbar Melayu dan pergerakan politik itu tetap menafsirkannya sebagai "menggugurkan."

Jika mahu, mudah sahaja seseorang mempertikaikan tindakan Suqiu itu dengan isu-isu berikut:

- Apakah benar wujud suasana tegang antara kaum seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak?

- Kenapa Suqiu hanya berunding dengan Pemuda Umno sedangkan PAS dan Keadilan meraih 70 peratus sokongan Melayu dalam pilihanraya umum 1999?

- Adakah perbincangan Suqiu-Pemuda dijalankan dalam suasana sama rata atau tertekan?

- Mengapa Suqiu tidak memaklumkan keputusan yang bakal diambil itu kepada penyokong, badan-badan bukan kerajaan dan persatuan-persatuan gabungannya agar mereka maklum hal itu?

- Suqiu sendiri jarang mendapatkan maklum balas daripada 2,059 persatuan yang menyokong 17 perkara tuntutannya

Peranan strategik Gerakan

Kini diketahui umum, parti Gerakan terutamanya Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa Datuk Kerk Choo Ting, memainkan peranan utama di sebalik rundingan Suqiu-Pemuda. Gerakan dikatakan telah menawarkan diri sebagai orang tengah untuk melancarkan proses perundingan itu. Menurut laporan sebuah akhbar berbahasa Cina, Gerakan sedia membayar segala perbelanjaan hotel sepanjang empat pertemuan tersebut.

Kerk dikatakan mendapat mandat daripada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk menyelesaikan isu itu. Disebut-sebut juga kononnya Pak Lah dan Dr Mahathir mempunyai perbezaan pendapat dalam menangani Suqiu. Perkara ini dikukuhkan lagi dengan kehadiran Khairy Jamaluddin, pembantu khas Pak Lah sebagai wakil rundingan utama Pemuda Umno.

Pemimpin Gerakan itu telah mendesak pemimpin persatuan-persatuan Cina dan Suqiu agar bersikap " give and take " untuk meleraikan keadaan yang kononnya "tegang". Suqiu diminta memberikan laluan kepada Pak Lah dan golongan sederhana dalam Umno untuk mengawal keadaan. Golongan atasan masyarakat Tionghua masih lagi melihat Pak Lah sebagai moderate dan bakal mengambil alih jawatan Perdana Menteri apabila Dr Mahathir dilihat sebagai beban Umno, BN dan negara.

Dalam pertemuan awal antara Gerakan dengan Suqiu, penulis difahamkan parti itu terlebih dahulu menyenaraikan dua pilihan untuk gabungan Cina tersebut. Suqiu yang sedia tertekan psikologinya telah termasuk ke perangkap Gerakan-Pemuda Umno. Di peringkat akhir, Gerakan dikatakan tidak lagi memainkan peranan sebagai orang tengah tetapi hanya proxy Pemuda dalam perbincangan itu.

Walaupun segelintir anggota jawatankuasa Suqiu memang sedar bahawa keadaan itu merupakan suatu perangkap dan ingin menarik diri daripada proses rundingan tetapi segala-galanya sudah terlambat. Kerk, pemimpin-pemimpin persatuan Cina yang pro-BN dan Ketua Pemuda Umno Datuk Hishammuddin Hussein sendiri terus-menerus memberikan tekanan kepada pemimpin Suqiu untuk menerima satu daripada dua pilihan yang telah dirangkakan oleh Gerakan.

Pemuda Umno yang licik menyenaraikan lapan perkara yang perlu "digugurkan" oleh Suqiu. Tujuh daripada perkara itu telah dibacakan dalam sidang akhbar mereka bersama. Pemuda dikatakan mengugut Suqiu dengan perkara kelapan, iaitu Suqiu tidak boleh mengungkit semula tujuh tuntutan tersebut ( "will not raise again" ) dan gabungan itu perlu meminta maaf kepada masyarakat Melayu.

Untuk menangguhkan desakan kelapan, maka Suqiu terpaksa akur untuk "mengetepikan" tujuh perkara itu. Suqiu sekali lagi terperangkap dengan ketegasan wakil-wakil Pemuda yang diketuai oleh Khairy, Ahmad Zaki Zahid (pembantu khas Hishammuddin) dan Datuk Abdul Azim Mohd Zabidi (anggota Majlis Tertinggi).

Polis SB campur tangan

Pada saat ini, apa yang terdaya diselamatkan oleh Suqiu ialah memastikan perkataan sesuai digunakan dalam kenyataan bersama teks berbahasa Inggeris supaya tidak mudah dimanipulasikan oleh media arus perdana dan Pemuda.

Perkataan "diketepikan" atau " put aside " memang berbeza maknanya dengan perkataan "digugurkan" yang diulang-ulangkan dalam media Melayu. Tindakan Suqiu itu bertujuan menyekat Pemuda daripada memperalatkan kenyataan ini bagi menekan hak bersuara pihak-pihak lain pada masa depan.

Harus juga diingat, anggota polis Cawangan Khas (SB) turut memainkan peranan halusnya - menekan dan menyebarkan khabar angin dan maklumat yang mengelirukan dalam proses rundingan ini.

Cerita tentang suasana tegang atau penangkapan besar-besaran ISA sentiasa diheboh-hebohkan semasa rundingan dijalankan. Setiap gerak geri Suqiu diawasi dan ini membolehkan Pemuda berada dalam kedudukan selesa ketika menghadapi Suqiu. Boleh dikatakan setiap tindakan dan keputusan Suqiu sudah dapat diramalkan oleh Gerakan, Pemuda dan SB.

Wartawan dan aktivis yang prihatin terhadap isu ini dan hadir dalam sidang akhbar 5 Januari lalu lalu tentu sedar kehadiran anggota SB yang begitu ramai. Mereka memakai kad perakuan akhbar agensi berita Bernama .

Malah ramai juga yang turut menyaksikan Setiausaha Ekskutif Suqiu terus berdebat dengan wakil Pemuda (kelihatan memegang tiga atau empat buah kamus) ketika mereka sedang merangka isi kandungan kenyataan akhbar itu. Situasi itu berlaku di tepi sebuah komputer jenis laptop yang berada di suatu penjuru Hotel Hilton Kuala Lumpur. Keadaan ini sempat diperhatikan oleh pemberita-pemberita dan kakitangan polis SB.

Kesimpulannya, masyarakat harus melihat isu ini daripada perspektif yang lebih menyeluruh. Musuh utama kewujudan masyarakat madani ialah politik perkauman yang dilakonkan sendiri oleh Dr Mahathir dan Pemuda Umno.

Suqiu hanya mangsa di sebalik persembahan wayang kulit ketuanan Melayu.

Ada pihak masih ragu-ragu sama ada sesetengah pendukung reformasi dan penyokong PAS dapat mempertahankan prinsip demokrasi dan tidak terpukau oleh ideologi ketuanan Melayu yang ditiupkan semula oleh Umno.

Tindakan pengendali laman-laman web reformasi yang meminta Suqiu menggugurkan tuntutannya yang menyentuh hak Melayu dan Bumiputera merupakan contoh yang menggerunkan. Keadaan ini sedikit sebanyak disebabkan oleh persepsi lama yang masih gagal diubah.

Insiden menyedihkan yang menimpa Suqiu menandakan hubungan antara pendukung demokrasi dan masyarakat madani yang berbilang bangsa masih lagi rapuh.

Suqiu kini menghadapi tugas berat untuk memulihkan kredibilitinya di kalangan masyarakat Tionghua dan masyarakat Malaysia amnya. Ia perlu membuktikan ketelusannya dengan menerangkan sebab-sebab ia terpaksa tunduk kepada tekanan Pemuda Umno.

Walaupun mungkin pemimpin Suqiu yang telah sekian lama disanjungi masyarakat akan berasa sedikit tidak selesa kerana menerima kecaman hebat daripada generasi muda. Tetapi tindakan telus dan demokratik Suqiu itu nanti akan mengurangkan kecaman generasi baru itu.


YONG KAI PING, bekas aktivis pelajar Universiti Teknologi Malaysia yang pernah dikenakan tindakan tatatertib kerana menghantar memorandum kepada Ketua Hakim Negara pada 1999, kini bertugas sebagai Ketua Editor sebuah majalah bebas berbahasa Mandarin, Perspektif Pedas , dan juga kolumnis sebuah akhbar harian berbahasa Cina.