Paling Popular
Terkini

Rumah Putih pada Selasa mengancam untuk memenjarakan golongan gelandangan di Washington susulan tindakan campur tangan kontroversi yang melibatkan polis dan penempatan Pasukan Pengawal Kebangsaan di ibu negara Amerika Syarikat (AS), lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Jurucakap Presiden AS Donald Trump, Karoline Leavitt, pada sidang akhbar berkata: “Individu gelandangan akan diberi pilihan untuk meninggalkan kawasan penempatan mereka, dibawa ke pusat perlindungan gelandangan untuk ditawarkan perkhidmatan rawatan ketagihan atau kesihatan mental, dan jika enggan, mereka akan dikenakan denda atau sekali lagi berdepan hukuman penjara.”

Dalam langkah yang tidak pernah berlaku sebelum ini, Trump pada Isnin mengisytiharkan darurat di Washington berikutan dakwaan jenayah berleluasa dan, menurut kenyataannya sendiri, mengerahkan 800 anggota Pengawal Kebangsaan ke bandar itu.

Selain itu, beliau buat sementara waktu meletakkan pasukan polis di daerah ibu negara Washington di bawah arahan Peguam Negara AS, Pam Bondi.

Tiada bukti peningkatan kesalahan jenayah.

Datuk Bandar Washington mempertikaikan dakwaan Trump.

Datuk Bandar Washington Muriel Bowser, menolak dakwaan Trump dengan memberitahu sebuah stesen radio bahawa “angka itu sama sekali tidak mewajarkan langkah ini,” sambil memaklumkan kadar jenayah di bandar itu adalah yang terendah dalam tempoh 30 tahun.

Beliau menambah bahawa pihak bandar raya dan polis akan tetap bekerjasama.

Bondi dalam hantaran di X berkata beliau telah mengadakan “mesyuarat yang produktif” dengan Bowser.

Trump sebelum ini sudah mengancam untuk mengusir gelandangan.

“Gelandangan mesti keluar, SEGERA," tulis Trump di laman media sosialnya Truth Social lewat Ahad, sambil memuat naik gambar khemah dan sampah di tepi jalan.

“Kami akan menyediakan tempat tinggal, tetapi JAUH dari ibu negara.”

Leavitt pada Selasa berkata kerajaan masih mempertimbangkan pilihan itu.

- Bernama-dpa


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS