Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam tindakan keras polis terhadap perhimpunan anjura Barisan Bertindak Hak Hindu (Hindraf) hari ini.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, cara polis mengambil tindakan seolah-olah menganggap masyarakat India sebagai rakyat kelas rendah.

"Cara tindakan polis mengambil tindakan sejak pagi adalah luar biasa dan tidak pernah berlaku sebelum ini.

"Tidak ada sebab polis bertindak sedemikian rupa kerana ia merupakan satu perhimpunan yang aman," katanya dalam sidang media di ibu negara hari ini.

Hadir sama ialah Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali; Naib Presiden, Azmin Ali dan Setiausaha Agung, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Anwar berkata, beliau berharap pihak berkuasa membebaskan segera tanpa syarat mereka yang ditahan sewaktu perhimpunan tersebut.

Katanya, dua pemimpin PKR - Naib Presiden, Sivarasa Rasiah dan Ketua Penerangan, Tian Chua -menghadiri perhimpunan tersebut untuk membantu mereka yang ditahan.

Leraikan perhimpunan

"Bukan sahaja pemimpin PKR berbangsa India, ada juga pemimpin dari kaum Melayu dan Cina yang hadir dalam perhimpunan tersebut," katanya lagi.

Kira-kira 30,000 orang menyertai perhimpunan di Menara Berkembar Kuala Lumpur selepas usaha mereka untuk menyerahkan petisyen kepada Suruhanjaya Tinggi British dihalang oleh tembakan gas pemedih mata dan semburan meriam air kimia.

Dalam perhimpunan yang bermula awal pagi tadi, polis melepaskan tembakan gas pemedih mata serta menyembur air kimia untuk meleraikan mereka yang berkumpul di tiga tempat di Kuala Lumpur-Jalan Ampang, KLCC dan Batu Caves untuk menyertai perhimpunan anjuran Barisan Bertindak Hak Hindu (Hindraf) di ibunegara.

Polis melepaskan gas pemedih mata kira-kira jam 7.40 pagi tadi untuk meleraikan orang ramai yang di Jalan Ampang. Polis telah mengisytiharkan perintah berkurung di kawasan tersebut dan akan menangkap mereka yang memasukinya.

Sebelum itu, polis juga telah menggunakan gas pemedih mata untuk meleraikan orang ramai yang berkumpul di Batu Caves dan di kawasan KLCC.

Walaupun polis mengadakan sekatan jalanraya dan mengawal ketat jalan masuk ke bandaraya, namun ribuan masyarakat India dari seluruh negara tiba di Kuala Lumupur sejak malam tadi.

Perhimpunan tersebut dirancang diadakan bagi menyokong saman terhadap kerajaan British untuk mengutuk apa yang mereka dakwa sebagai diskriminasi masyarakat India di negara ini.

Saman tersebut diaman baru-baru ini untuk menuntut gantirugi sebanyak AS$4 trillion (RM14 trillion) untuk kira-kira dua juta masyarakat India di Malaysia yang nenek moyang mereka telah di bawa oleh British ke negara ini untuk bekerja sebagai buruh pada tahun 1800-an.