PKR: K'jaan, SPR tidak pedulikan bukti penyelewengan p'raya
Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah memberi pelbagai bukti mengenai penyelewengan yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dalam mengendalikan pilihanraya di negara ini, kata Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah memberi pelbagai bukti mengenai penyelewengan yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dalam mengendalikan pilihanraya di negara ini, kata Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bagaimanapun, katanya, bukti-bukti yang diberikan itu tidak pernah diambil perhatian oleh SPR, mahupun kerajaan sendiri.
"Kita telah memberi kepada SPR beberapa tahun lalu senarai pemilih yang tidak sama, pemindahan pengundi, senarai pengundi pos, senarai pengundi mati tetapi masih mengundi.
"Tetapi apa yang SPR buat kepada bukti-bukti yang diberikan diberikan oleh pembangkang termasuk PKR?" soalnya dalam sidang media di ibunegara hari ini.
Anwar yang juga bekas timbalan perdana menteri berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bahawa pilihanraya di Malaysia dijalankan secara adil.
Abdullah juga berkata, tidak ada bukti berlaku penipuan dalam perjalanan pilihanraya di negara ini.
'Cakap benar'
Anwar berkata, adalah tidak munasabah Perdana Menteri atau Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman tidak mengetahui mengenai perjalanan pilihanraya di negara ini.
"Saya mencabar Abdullah supaya bercakap benar mengenai pilihanraya di dalam negara kita dan bukannya berterusan bercakap bohong," katanya.
Dalam sidang media tersebut, Anwar juga ditanya mengenai tinjauan pendapat yang dibuat oleh Merdeka Centre seperti yang dilaporkan oleh sebuah akhbar tempatan hari ini.
Akhbar tersebut melaporkan hasil tinjauan Merdeka Centre bahawa rakyat masih percaya kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Abdullah.
Katanya, tinjauan itu perlu dilihat secara luas dan bukannya dari satu sudut sahaja.
"Kalau kita tanya kepada pegawai kerajaan di Shah Alam dan Petaling Jaya adakah mereka menyokong kerajaan, tentu mereka menjawab mereka sokong.
Tinjauan Merdeka Center
"Tetapi kalau ditanya adakah mereka menjawab mereka menyokong Dasar Ekonomi Baru (DEB) mereka jawab tidak," katanya.
Anwar berkata, tinjauan yang dilakukan oleh Merdeka Centre itu sebenarnya mendorong PKR untuk bekerja lebih kuat lagi menjelang pilihanraya umum akan datang.
Sementara itu, Anwar berkata, rundingan pembahagian kerusi antara pembangkang di kawasan bertindih sedang berjalan dan dijangka selesai tidak lama lagi.
Katanya, mereka sudah mencapai peringkat akhir dan jumlahnya tidak banyak dan membabitkan dua atau tiga negeri sahaja.
Bagaimanapun, Anwar tidak mahu menjelaskan berapa banyak kerusi yang masih terbabit dengan rundingan di kalangan parti pembangkang.
Rundingan pembahagian kerusi PKR diketuai oleh Khalid. Manakala ahli lain jawatankuasa tersebut ialah Naib Presiden, Mustaffa Kamil Ayub; Ketua Penerangan, Tian Chua dan Ahli Majlis Pimpinan Tinggi (MPT), Johari Abdul.

