Hindraf akan serah petisyen di London
Selepas enam jam penyokongnya berdepan dengan tembakan gas pemedih mata serta semburan air asid, pihak polis akhirnya membenarkan Barisan Bertindak Hak Hindu (Hindraf) untuk menyerahkan petisyennya, tetapi tawaran itu ditolak.
Selepas enam jam penyokongnya berdepan dengan tembakan gas pemedih mata serta semburan air asid, pihak polis akhirnya membenarkan Barisan Bertindak Hak Hindu (Hindraf) untuk menyerahkan petisyennya, tetapi tawaran itu ditolak.
Sebaliknya, penasihat undang-undang Hindraf, P Uthayakumar berkata , petisyen tersebut akan diserahkan kepada Ratu Elizabeth II di London. Kira-kira 2,000 yang berhimpun di luar Suruhanjaya Tinggi British bersurai selepas pihak penganjur merayu mereka berbuat demikian.
Petisyen itu meminta kerajaan British melantik peguam diraja untuk mewakili Hindraf dalam saman mereka.
Saman tersebut difailkan terhadap kerajaan British, dan bertujuan untuk mengetengahkan keadaan masyarakat India yang didakwa masih didiskriminasi oleh kerajaan Malaysia.
Ia juga menuntut pampasan AS$4 trillion untuk kira-kira dua juta rakyat India yang nenek moyang mereka telah dibawa oleh British ke Malaysia untuk menjadi buruh.
Mereka juga menuntut kerajaan memperbaiki kualiti hidup masyarakat India yang merupakan kaum ketiga terbesar di Malaysia.
Nazri sokong tindakan polis
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, menyokong tindakan yang diambil oleh polis ketika meleraikan perhimpunan Hindraf.
Katanya, protes tersebut diadakan secara haram dan pihak polis telah diberi kebenaran untuk menggunakan cara yang sah untuk meleraikannya.
"Dan ini bermakna menggunakan gas pemedih mata dan meriam air," katanya kepada AFP.
Polis menggunakan meriam air kimia untuk menyuraikan orang ramai yang berkumpul di Menara Kembar Petronas, tetapi mereka enggan beredar.
Menurut saksi-saksi, polis memukul sesetengah daripada mereka dengan cota. Pihak penganjur berkata sekurang-kurangnya 400 orang telah ditahan dan 19 orang cedera.
Polis bagaimanapun berkata, lebih 100 orang telah ditahan.
Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang pula berkata, polis menggunakan kekerasan yang keterlaluan ketika bertindak menyuarakan perhimpunan hari ini.
Kerajaan telah mengharamkan perhimpunan tersebut kerana bimbang ia akan mencetuskan keganasan berkauman dan memberi amaran mereka yang menyertainya akan ditahan.
Mereka yang menghadiri perhimpunan tersebut turut mengecam tindakan keras polis tersebut.
N. Vijayan, 40, seorang jurutera, berkata masyarakat India sudah terlalu lama dipinggirkan.
"Demonstrasi tersebut adalah untuk membuka mata kerajaan bahawa kami benar-benar kecewa dengan dasar-dasarnya," katanya.
- AFP

