PAS: Perhimpunan aman jika tidak diganggu polis
PAS mendakwa perhimpunan aman akan menjadi kecoh apabila pihak polis membuat provokasi dan bertindak keras ketika menyuraikannya seperti yang berlaku dalam perhimpunan anjuran Barisan Bertindak Hak Hindu (Hindraf) di ibu negara semalam.
Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa berkata, berdasarkan pengalaman PAS, perhimpunan yang dianjurkan oleh parti itu dan pembangkang berjalan aman apabila tidak diganggu oleh pihak polis.
Katanya, PAS pernah mengadakan perarakan secara besar-besaran dari masjid Kampung Baru ke Kedutaan Denmark dalam isu karikatur Nabi Muhammad tahun lalu.
Beliau berkata, pihaknya juga telah mengadakan perarakan dan perhimpunan membabitkan ribuan orang di perkarangan Kedutaan Amerika kerana membantah pencerobohan negara itu ke atas Afghanistan.
Menurutnya, begitu juga dengan perhimpunan anjuran Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) pada 10 November lalu berjalan lancar dan aman kerana tiada gangguan polis.

Sebaliknya, kata Nasharudin di kawasan yang terdapat gangguan polis seperti di Masjid Jamek ia menimbulkan kekecohan.
Perhimpunan aman
"Saya tidak nampak perhimpunan anjuran Hindraf itu akan menimbulkan kekecohan kerana penganjur sendiri memberi jaminan ia satu perhimpunan aman.
"Dan pihak polis pula perlu membantu Hindraf untuk memastikan keamanan sepanjang perhimpunan tersebut, " katanya dalam sidang media di ibu negara hari ini.
Nasharudin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perhimpunan anjuran Hindraf yang dihadiri oleh kira-kira 30,000 di ibu negara untuk menyerahkan petisyen kepada Suruhanjaya Tinggi British semalam,
Perhimpunan hari ini diadakan untuk menyokong saman yang difailkan oleh Barisan Bertindak Hak Hindu (Hindraf) terhadap kerajaan British kerana membawa rakyat India ke Malaysia sebagai buruh dan mengeksploitasi mereka selama 150 tahun.
Saman itu juga bertujuan mendapatkan pengisytiharan bahawa Laporan Suruhanjaya Reid 1957 gagal mengambilkira hak masyarakat India apabila memberi kemerdekaan, mengakibatkan mereka didiskriminasi dan dipinggirkan hingga hari ini.
Mereka menuntut pampasan AS$2 juta bagi setiap orang India yang tinggal di Malaysia.
'Suara rakyat'
Sehubungan itu, Nasharudin berkata, tiada sebab polis tidak membenarkan Hindraf berhimpun dan menyerahkan petisyen kepada Suruhanjaya Tinggi British.
Walaupun PAS, katanya, tidak kena mengena dengan perhimpunan tersebut, tetapi hak mereka untuk berhimpun perlu dihormati.
Katanya, perhimpunan anjuran Hindraf tersebut tiada kena mengena dengan kerajaan Malaysia sebaliknya untuk menyampaikan memorandum kepada Kedutaan British.
Semalam Setiausaha Agung PAS, Datuk Kamaruddin Jaffar dipetik sebagai berkata hak asasi manusia tanpa mengira latarbelakang keturunan, bangsa dan agama untuk melahirkan pendapat dan menyatakan bantahan, harus dipatuhi dan dibenarkan oleh kerajaan.
"PAS berpendirian, walaupun tidak semestinya kita bersetuju dengan pendapat dan apa yang mereka suarakan, namun semua pihak harus menghormati hak asasi mereka untuk menyuarakan pandangan dan berhimpun secara aman," katanya.
Kamaruddin yang juga Ahli Parlimen Tumpat berkata, perhimpunan anjuran Hindraf merupakan satu isyarat dan tanda kegelisahan sebilangan besar kaum India dengan dasar kerajaan yang tidak memberi manfaat kepada mereka.
Katanya, kerajaan mesti mengambil pendekatan mendengar 'suara hati' mereka dan berusaha menyelesaikan tuntutan atau masalah yang mereka hadapi.