Kehadiran anggota polis di kuil Batu Caves semalam bukan untuk menceroboh tetapi adalah untuk menyuraika perhimpunan lebih 1,000 orang setelah mendapat aduan daripada jawatankuasa kuil itu, kata Timbalan Pengarah 1, Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Jamaludin Khalid.

Justeru, katanya, dakwaan sesetengah pihak kononnya anggota polis menceroboh tempat sembahyang di kuil itu adalah tidak benar.

Jamaludin menyifatkan dakwaan tersebut sebagai satu cubaan pihak tertentu untuk mencemarkan imej polis dengan menggunakan sentimen agama, demikian menurut laporan Bernama.

"Memang kami ada masuk ke dalam kawasan kuil itu untuk hentikan perarakan, tetapi tidaklah sampai mencerobohi tempat penyembahan (kuil) seperti yang didakwa.

"Kami tahu sensitiviti mereka," katanya kepada pemberita selepas majlis serah-terima tugas di Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam di Kuala Lumpur hari ini.

Sebaliknya, kata beliau, kumpulan yang berhimpun itu yang mula menimbulkan kekecohan dengan memecah masuk pintu utama kuil Batu Caves dan merosakkan harta benda di situ.

Jamaludin berkata, polis bergegas ke kuil berkenaan pada jam 2 pagi sebaik menerima aduan daripada jawatankuasa kuil itu dan mendapati 1,000 orang sudahpun berkumpul di situ.

"Polis kemudiannya mengarahkan mereka supaya bersurai tetapi mereka enggan lalu memasuki premis kuil tersebut," katanya.