Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata beliau akan meneruskan gaya pentadbirannya ekoran keputusan satu kajian yang menunjukkan rakyat Malaysia pelbagai bangsa gembira dengan pentadbiran kerajaan sekarang.

Sambil menyatakan puashatinya dengan keputusan kajian tersebut, Abdullah berkata: ""Jika itulah apa yang ditunjukkan kajian tersebut, saya gembira. Kita akan terus mentadbir negara seperti apa yang kita buat sekarang.

"Jika ada sesiapa mahu mengkritik, OK, selagi ia adalah kritik yang membina dan cuba melakukan yang mungkin untuk mengatasi masalah yang kita hadapi," katanya.

Kajian tesebut yang dijalankan oleh Merdeka Center untuk New Straits Times, mendapati sokongan pengundi yang positif dan kukuh terhadap Perdana Menteri dan kerajaan Barisan Nasional.

Menurutnya, kenyakinan rakyat terhadap Perdana Menteri dan kerajaan kekal stabil dan positif walaupun wujudnya perkembangan yang sebaliknya.

Kajian itu yang membabitkan 1,024 responden, mendapati rakyat Malaysia mengambil berat tentang ekonomi, keselamatan awam dan isu rasuah.

Bagi setiap lima koresponden menyenaraikan kenaikan harga, peningkatan kos sarahidup dan isu-isu ekonomi yang lain, "merupakan masalah paling penting yang menejaskan rakyat Malaysia hari ini".

Manakala isu jenayah dan keselamatan awam merupakan masalah kedua terbesar dan isu rasuah yang ketiga terbesar.

Ulangtahun ke-68

Bernama melaporkan Abdullah sebagai berkata: "Perkara penting ialah kita akan melakukan apa saja untuk menjadikan wawasan kebangsaan mempertingkatkan semua rakyat Malaysia kepada kejayaan.

"Mereka yang menyokong kerajaan sekarang, saya ucapkan terima kasih.

"Kepada mereka yang mengkritik kerajaan sekarang, saya ucapkan terima kasih tetapi pastikan kritik itu adalah adil dan tidak keterlaluan, jangan anda buat keputusan sendiri tanpa mengetahui kebenarannya," katanya lagi.

Abdullah yang diiringi oleh isteri beliau Datin Seri Jeanne Abdullah mengakhiri lawatan dua harinya ke Mesir pada Isnin dan pulang ke tanah air awal pagi Selasa.

Perdana Menteri yang menyambut hari lahirnya ke-68, juga ditanya mengenai harapan pada hari lahirnya dan menjawab: "Saya hanya mahu sihat dan gembira".

Mengenai dakwaan mengenai taktik pembangkang memberikan maklumat salah kepada penuntut di universiti tempatan dan luar negara, beliau berkata, pembangkang akan melakukan kepada sesiapa yang mendengar mereka.

"Yang penting ialah kita hendaklah sentiasa berwaspada dan menyebarkan maklumat betul. Penuntut kita di universiti boleh berfikir dan boleh menilai apa yang baik untuk mereka sekarang dan masa akan datang.

"Kita jaga penuntut kita...kita mahu mereka berjaya, peroleh gred yang baik, dapat pekerjaan baik dan membantu membina negara. Kita tidak terlibat untuk memprovokasi mereka dengan memberikan maklumat salah. Kita sentiasa positif, tambah Abdullah.