Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Polis Bukit Aman ambil alih siasatan kes kematian pelatih Palapes
Diterbitkan:  Aug 27, 2025 9:18 AM
Dikemaskini: 1:29 AM

Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman kini mengambil alih sepenuhnya siasatan berhubung kematian pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Syamsul Haris Shamsudin.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk M Kumar (gambar bawah) berkata langkah itu diambil susulan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam, yang membenarkan permohonan keluarga Allahyarham Syamsul Haris untuk menggali semula kubur serta menjalankan bedah siasat kedua terhadap jasad beliau.

“PDRM memberikan komitmen sepenuhnya untuk mematuhi perintah mahkamah tersebut dan memberi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan secara telus serta berintegriti berlandaskan undang-undang mengikut prinsip rule of law bagi memastikan keadilan ditegakkan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata mahkamah yang dipengerusikan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet telah mengeluarkan perintah supaya jasad Syamsul Haris yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu, Selangor digali semula bagi tujuan bedah siasat kedua.

“Mahkamah turut memerintahkan supaya bedah siasat dilakukan seorang pakar forensik Hospital Kuala Lumpur dalam tempoh 14 hari selepas jasad dikeluarkan dengan kehadiran pakar forensik Datuk Seri Dr Bhupinder Singh serta peguam keluarga, Datuk Naran Singh atau wakilnya.

“Selain itu, pakar forensik yang menjalankan bedah siasat berkenaan diarah mengeluarkan laporan post-mortem dalam tempoh munasabah, dengan satu salinan laporan diserahkan kepada peguam keluarga, Tetuan Naran Singh & Co,” katanya.

Pada 19 Ogos lepas, ibu Syamsul Haris, Ummu Haiman Bee Daulatgun mengemukakan permohonan menggali semula kubur bagi membolehkan bedah siasat kali kedua dijalankan serta mencadangkan untuk memulakan prosiding inkues bagi menyiasat kematian anaknya.

Syamsul Haris, 22, dilaporkan meninggal dunia pada 28 Julai lepas di Hospital Kota Tinggi, Johor, ketika menjalani latihan di Lapang Sasar Imunisasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) di Ulu Tiram, Johor dan dikebumikan pada 29 Julai di Tanah Perkuburan Islam Kampung Riching Ulu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS