Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Gempa bumi lemah 3.2 magnitud berlaku di Segamat
Diterbitkan:  Aug 27, 2025 12:00 PM
Dikemaskini: 7:29 AM

Gempa bumi lemah berukuran 3.2 magnitud berlaku pada 8.59 pagi tadi di Segamat, Johor, dengan gegaran dilapor dirasai di beberapa kawasan di negeri ini serta selatan Pahang.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan memaklumkan gempa bumi itu berlaku di kira-kira 18 kilometer selatan Segamat, berpusat pada koordinat 2.33 darjah Utara dan 102.79 darjah Timur dengan kedalaman 10 kilometer.

“MetMalaysia akan terus memantau keadaan dan perkembangan gempa bumi ini,” menurut MetMalaysia menerusi hantaran di Facebook.

Orang ramai yang merasai gegaran diminta mengisi borang soal selidik yang disediakan MetMalaysia menerusi pautan https://forms.gle/JMGSQhuAKdtwWn2a7 bagi membantu siasatan lanjut.

Pada 24 Ogos lepas, MetMalaysia mengesahkan gempa bumi lemah berlaku di Segamat pada 6.13 pagi dengan kekuatan magnitud 4.1, disusuli gegaran kedua pada 9 pagi di Yong Peng, 28 km Barat Laut Kluang dengan magnitud 2.8 pada kedalaman 10 km.

Sementara itu, Pegawai Daerah Segamat Mohd Ezzuddin Sanusi dalam kenyataan memaklumkan tiada laporan kerosakan harta benda, kecederaan mahupun kemalangan jiwa diterima setakat ini susulan gegaran lemah pagi tadi.

Katanya, pusat gegaran dikesan berhampiran kawasan Segamat dan turut dirasai penduduk di daerah  serta beberapa kawasan lain di Johor dan selatan Pahang.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan  Bencana Daerah (JPBD), berkata Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) serta pihak berkuasa keselamatan dan agensi berkaitan sedang memantau keadaan itu bagi memastikan daerah ini berada dalam keadaan selamat terutamanya untuk orang awam.

“Orang ramai diminta bertenang, tidak menyebarkan maklumat tidak sahih dan mendapatkan perkembangan terkini melalui saluran rasmi seperti MetMalaysia serta agensi kerajaan berkaitan.

“Mereka juga digalakkan melaporkan sebarang insiden kecemasan kepada pihak berkuasa dan JPBD Segamat akan terus menyalurkan maklumat terkini dari semasa ke semasa demi memastikan keselamatan serta kesejahteraa penduduk,” katanya. 

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS