Pihak berkuasa mesti mendengar 'rungutan' 30,000 masyarakat India yang mengambil bahagian dalam perhimpunan Ahad lalu, kata Hindu Sangam Malaysia (MHS).

Sambil menyifatkannya sebagai 'pembuka mata kepada rakyat Malaysia," MHS berkata, kerajaan mesti memastikan "luka yang menanah" dalam masyarakat India tidak menjadi bertambah teruk

"Adalah jelas bahawa puluhan ribu kaum India di Malaysia merasakan bahawa kerajaan tidak melindungi kepentingan mereka," kata Presiden MHS, Datuk A Vaithilingam dalam satu kenyataan hari ini.

Antaranya, kata beliau, mereka yang menyertai perhimpunan itu marah dengan pelanggaran kebebasan beragama oleh "pihak berkuasa agama Islam".

Beliau memberi contoh kes-kes perebutan mayat antara pihak berkuasa agama Islam dengan keluarga Hindu serta perobohan kuil-kuil Hindu.

"Hampir kesemua mangsa (pelanggaran kebebasan beragama) adalah kaum Hindu, ini menyemarakkan lagi kemarahan dalam masyarakat tersebut," tambahnya.

Langkah segera

Vaithilingam berkata, satu lagi pemangkin kepada perhimpunan Ahad lalu, anjuran Badan Bertindak Hak Hindu (HIndraf), ialah perobohan Kuil Sri Maha Mariamman di Kampung Karuppiah, Shah Alam sebelum perayaan Deepavali.

"Gambar-gambar yang menunjukkan pihak penguatkuasa membaling batu ke arah kuil dan para penganut, telah mencetuskan kemaraan di kalangan masyarakat India," katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan supaya mengambil langkah segera untuk memperbaiki keadaan sosio-ekonomi masyarakat India bagi memastikan kekayaan negara diagihkan sama rata di kalangan rakyat Malaysia.

Beliau juga menggesa kerajaan supaya membuat pembaharuan perundangan untuk melindungi kebebasan beragama.

"Kami menggesa mahkamah supaya memainkan peranannya sebagai pelindung kepada kebebasan asasi kaum minoriti daripada ditindas oleh kaum majoriti," katanya. Berita asal