Halal Development Corp (HDC) menjelaskan bahawa pemangku pengerusinya, Azhari Shaari, telah melalui tapisan keutuhan oleh SPRM dan tidak mempunyai rekod bersalah berkaitan rasuah.
“Melalui keputusan Jawatankuasa Tapisan Integriti SPRM bertarikh 4 November tahun lalu, beliau telah disahkan bebas daripada sebarang rekod kesalahan rasuah,” kata HDC dalam satu kenyataan hari ini.
Penjelasan itu dibuat selepas keberadaan Azhari dalam lembaga pengarah HDC dibangkitkan oleh ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berhubung pengakuan bersalah Azhari dalam satu kes jenayah.

Pada 2023, Azhari – yang juga ketua Umno Shah Alam – berdepan tiga pertuduhan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan kerana menyalahgunakan RM440,000 yang diperuntukkan untuk anak yatim dan program korban Aidiladha.
Dia juga dituduh atas tiga pertuduhan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menggunakan minit mesyuarat agung tahunan palsu sebagai dokumen asli.
Walaupun pada awalnya mengaku tidak bersalah, laporan tahunan SPRM 2023 menyebut bahawa dia kemudian menukar pengakuan kepada bersalah bagi salah satu pertuduhan pemalsuan tersebut.
Susulan itu, lima pertuduhan lain terhadapnya ditarik balik.
Azhari dikenakan denda RM1,900 bagi kesalahan pemalsuan yang diakuinya, manakala RM220,000 disita oleh kerajaan.

Dalam kenyataan hari ini, HDC berkata pemimpin Umno itu dilantik oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri sebagai pengarah lembaga di GLC berkenaan pada Okt 2024.
Sebagai sebahagian daripada proses pelantikan itu, dia telah melalui tapisan SPRM yang pada Nov 2024 mengisytiharkannya bebas daripada sebarang rekod rasuah.
“Sebagai sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC), HDC kekal komited untuk menegakkan prinsip integriti, ketelusan dan tadbir urus korporat yang berkesan dalam semua aspek pengurusan serta pelaksanaan tanggungjawab korporat.
“HDC turut komited memastikan ketelusan, tadbir urus korporat yang baik, serta integriti dalam semua urusan dan operasi syarikat,” kata syarikat itu.
Azhari dilantik sebagai pemangku pengerusi HDC mulai 17 Jun tahun ini.
