Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pelajar dapat tempat di U boleh rujuk KPT jika bermasalah
Diterbitkan:  Sep 12, 2025 8:00 AM
Dikemaskini: 12:49 AM

Semua pelajar yang ditawarkan tempat di universiti diminta mendaftar terlebih dahulu dan segera memaklumkan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sekiranya berdepan masalah kewangan atau halangan lain.

Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abdul Kadir berkata KPT menyediakan pelbagai bantuan kewangan termasuk Program Pembangunan Siswa Sulung Keluarga Malaysia (Sulung) dan bantuan awal pengajian Yayasan Perkasa Siswa (YPS) bagi yang memerlukan.

"Pesan saya kepada semua yang mendapat tempat sambung pengajian, jika ada sebarang masalah atau kekangan kewangan atau apa-apa saja halangan, tolong hubungi dan maklum dengan saya dan pihak KPT.

"Daftar dulu dan saya telah meminta semua naib canselor untuk membantu memudahcarakan semua pelajar untuk mendaftar," katanya menerusi hantaran di Facebook malam tadi.

Zambry berkata komitmen KPT terbukti apabila pihaknya segera membantu dua pelajar dikenali sebagai Ikram dan Fairuz yang masing-masing berkemungkinan menolak tawaran ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau, Perlis serta Universiti Utara Malaysia di Kedah kerana kekangan kewangan dan ketidakmampuan.

Kisah dua orang sepupu itu dikongsikan seorang pengguna Facebook Wan Nurfarahin Wan Roslee yang menanda (tag) Zambry sebelum pegawai menteri terbabit segera menghubunginya untuk tindakan lanjut.

Zambry berkata kedua-dua pelajar itu sanggup bekerja sebagai pembantu kedai burger dengan pendapatan RM20 sehari bagi menampung perbelanjaan.

Katanya mereka memperoleh keputusan cemerlang di peringkat matrikulasi iaitu Ikram mendapat mata Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.75 dan Fairuz 3.92.

"Saya mengadakan panggilan video dengan mereka berdua. Saya beri jaminan agar mereka berdua masuk mendaftar belajar. Jangan bimbang soal kewangan, jangan khuatir soal yuran mahupun perbelanjaan persediaan, insya-Allah kita akan bantu dan permudahkan,” katanya.

Zambry turut merakamkan penghargaan kepada Wan Nurfarahin yang membantu memberi maklumat hingga membolehkan KPT dan UiTM Machang mengambil tindakan segera bagi memastikan pelajar terbabit dapat mendaftar.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS