Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pembangunan Kg Baru mesti utamakan Melayu - Sultan Selangor
Diterbitkan:  Sep 18, 2025 12:26 PM
Dikemaskini: 8:03 AM

Nota editor: Istana Selangor kemudian mengeluarkan kenyataan mengatakan titah Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak secara langsung mengulas mengenai pembangunan semula Kampung Sungai Baru hari ini.


Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, bertitah bahawa baginda tidak menolak usaha pembangunan Kampung Baru, namun menegaskan syarat-syaratnya mesti jelas dan berpihak kepada orang Melayu agar identiti serta maruah komuniti itu terus dipelihara.

Titah itu hadir selepas polemik pembangunan semula tanah di Kampung Sungai Baru, yang menimbulkan pelbagai pandangan daripada masyarakat dan pihak berkepentingan.

Baginda mengingatkan bahawa sebarang keputusan pembangunan tidak boleh hanya berpaksikan keuntungan ekonomi, tetapi mesti menitikberatkan sejarah, warisan, serta kepentingan bangsa Melayu yang menjadi pemilik asal kawasan berkenaan.

“Selepas membaca maklumbalas daripada pelbagai pihak, Beta mahu agar isu ini dikendalikan secara teliti dan berhemah dengan keutamaan harus diberikan kepada kepentingan orang Melayu.

“Beta tiada halangan sekiranya kawasan Kampung Baru hendak dibangunkan seiring dengan peredaran zaman, namun syarat-syaratnya harus jelas dan berpihak kepada orang Melayu,” titah Sultan Sharafuddin menerusi satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, ahli Parlimen Titiwangsa Johari Abdul Ghani berkata dia akan berjumpa dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa bagi memastikan hartanah yang dibangunkan semula di Kampung Sungai Baru hanya boleh dibeli oleh orang Melayu.

Jaminan menteri perladangan dan komoditi itu dibuat selepas bailif mahkamah, bersama beberapa agensi berkaitan, mengetuai operasi pengosongan di Kampung Sungai Baru, kawasan perumahan yang terletak di dalam Kampung Baru.

Tindakan itu, yang menyaksikan ketua polis daerah Dang Wangi, Sulizmie Affendy Sulaiman mengalami kecederaan dalam keadaan huru-hara, dilakukan melalui perintah mahkamah yang bertujuan memudahkan KL City Gateway Sdn Bhd membangunkan semula kawasan itu.

Mengulas lanjut, Sultan Selangor menegaskan bahawa Kampung Baru bukan sekadar penempatan, tetapi simbol kebangkitan orang Melayu sejak tahun 1900.

Titah Baginda, ia ditubuhkan sebagai Malay Agricultural Settlement (MAS) hasil kurniaan Sultan Selangor ke-5, Almarhum Sultan Sir Alaeddin Sulaiman Shah, melalui Warta Kerajaan Negeri Selangor bertarikh 12 Januari 1900.

Baginda turut mengimbas ikatan sejarah keluarganya dengan Kampung Baru — termasuk baginda sendiri pernah menetap dan bersekolah di Sekolah Kebangsaan Raja Muda di Kampong Bharu, ketika ayahanda Beta, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah bergelar Raja Muda Selangor.

“Allahyarham ayahanda kepada Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Hajah Norashikin juga lahir di Kampong Bharu di mana Tengku Permaisuri sekeluarga tinggal dan membesar,” titah baginda.

Menurut Sultan Sharafuddin, Kampung Baru menjadi lokasi penting dalam sejarah politik Melayu apabila Kelab Sultan Sulaiman menganjurkan Kongres Melayu Se-Malaya 1946 yang membawa kepada penubuhan Umno, serta menjadi tempat perlindungan masyarakat Melayu ketika tragedi 13 Mei 1969.

“Beta ingin menegaskan sekali lagi bahawa Kampung Baru memainkan peranan penting kepada kelangsungan dan maruah orang Melayu di Kuala Lumpur,” titah Sultan Sharafuddin.

Amaran Sultan Selangor ini dilihat sebagai peringatan bahawa pembangunan tanpa syarat yang melindungi kepentingan Melayu berisiko memadamkan identiti Kampung Baru sebagai simbol perjuangan dan warisan bangsa.

Dengan nilai tanah yang semakin tinggi, tekanan pembangunan bandar raya, serta minat besar pemaju hartanah, wujud kebimbangan bahawa suara komuniti asal akan tenggelam sekiranya garis panduan tegas tidak ditetapkan.

Mengulas lanjut, Sultan Sharafuddin menyeru supaya setiap pertimbangan pembangunan mengambil kira kepentingan Melayu bukan sahaja untuk masa kini, tetapi juga jangka panjang.

Baginda mengingatkan bahawa sejarah dan simbolisme Kampung Baru adalah sebahagian daripada denyut nadi Kuala Lumpur, dan sebarang pengabaian terhadap faktor ini akan mencetuskan implikasi besar terhadap warisan serta maruah orang Melayu.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh menyambut baik titah Sultan Selangor yang menegaskan menegaskan bahawa pembangunan di Kampung Baru mesti jelas dan berpihak kepada orang Melayu.

“Daulat Tuanku. Kepentingan orang Melayu perlu dipelihara walaupun pembangunan dijalankan.

“Jika ini adalah benar tanah MAS,maka pembangunan di kawasan tersebut wajib dijual hanya kepada orang Melayu sahaja,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS