Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor membalas kenyataan ahli Majlis Tertinggi Umno Puad Zarkashi yang mempersoalkan dakwaan PAS yang kempen pilihan raya parti itu dibiayai melalui kutipan derma “tin Milo”.

Menurut Sanusi, Puad sendiri mungkin telah membelanjakan jutaan ringgit dalam pilihan raya umum lalu serta pemilihan parti.

“Tak payah berlagak sucilah Puad. Hang sendiri habis berapa juta masa pilihan raya dulu? 

Nak dipilih jadi calon dalam BN pun kena berhabis duit, masuk pilihan raya kena habis berjuta... cuma mungkin bukan duit poket hang sendiri, mana dapat duit tu hang sendiri pun tahu,” sindirnya dalam hantaran di Facebook semalam.

Puad membangkitkan isu tersebut selepas Sanusi menafikan Bersatu pernah menyalurkan dana politik kepada PAS, sebaliknya parti itu hanya bergantung kepada kutipan dana “tin milo”.

Puad menolak penafian itu sebagai tidak munasabah dengan merujuk kenyataan Sanusi sebelumnya bahawa kos untuk memenangi satu kerusi Parlimen boleh mencecah sekurang-kurangnya RM1 juta.

Puad turut mencabar Bersatu supaya mendedahkan butiran sekiranya benar wujud penyaluran dana politik kepada PAS.

Dia menegaskan bahawa pendedahan terbuka sebegitu penting bagi merungkai kontroversi mengenai aliran kewangan dalam PN.

Puad turut menyindir bahawa Bersatu tidak perlu bimbang untuk mendedahkan butiran tersebut kerana tiada akta khusus yang mengawal dana politik ketika ini.

Isu dana PAS diperkatakan selepas Sanusi, yang merupakan naib presiden parti itu, menyindir parti komponen PN.

Dalam ucapan penggulungan di Muktamar PAS ke-71 di Kedah, Sanusi berkata parti itu terpaksa mengeluarkan perbelanjaan besar untuk menampung kos pilihan raya, sedangkan ada “rakan-rakan” yang “mai (datang) bertanding syok saja”.

“Kita menghadapi rakan-rakan (dalam PN) yang bergantung kepada peralatan yang kita bayar. Di sini (Kedah), saya fikir di tempat lain sama juga.

“Satu cawangan kita minta RM120,000 untuk satu UPU (unit peti undi). Sebelum ni semua peralatan itu kita bayar, depa mai bertanding syok aja. Habis tu nak jadi ketua? Duit tak dak, jentera tak dak, (harap) kita (PAS) semua,” katanya yang jelas merujuk kepada Bersatu.

Sehari kemudian bekas ketua setiausaha sulit kanan Muhyiddin Yassin semasa ahli politik itu menjadi perdana menteri, Marzuki Mohamad, mengingatkan bahawa bantuan dana yang diberikan oleh Bersatu yang membolehkan PAS mencapai kejayaan memenangi 43 kerusi parlimen buat pertama kali.