Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hajiji janji lantik timbalan ketua menteri Cina jika menang PRN
Diterbitkan:  Sep 23, 2025 11:21 AM
Dikemaskini: 3:52 AM

Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor berkata dia berhasrat melantik seorang timbalan ketua menteri daripada kaum Cina sekiranya Gabungan Rakyat Sabah (GRS) merpetahnkan kerajaan negeri pada pilihan raya akan datang.

Berucap di hadapan tetamu yang hadiri di Dewan Hakka, Kota Kinabalu malam tadi, Hajiji turut mengakui peranan dan sumbangan besar masyarakat Cina dalam pembangunan serta kemajuan negeri itu sejak dahulu lagi.

“Sekiranya kerajaan ini sekali lagi diberi mandat dan ramai pemimpin Cina berjaya dipilih sebagai wakil rakyat, saya akan melantik seorang daripada mereka sebagai Timbalan Ketua Menteri.

"Tanpa sumbangan komuniti Cina, ekonomi negeri ini tidak akan berkembang. Sumbangan mereka merangkumi pelbagai bidang dan sektor,” katanya dalam kenyataan seperti dilapor Bernama.

Hajiji berkata bagi memperkukuhkan pentadbiran negeri, beliau telah melantik beberapa penasihat pakar dalam bidang minyak dan gas, kewangan, pelaburan dan perundangan yang hampir kesemuanya dari keturunan Cina.

Antara mereka termasuk David Wong Dak Wah, bekas Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, yang mengetuai Sabah Law Reform Advisory Council (SLRAC).

“Majlis ini akan menilai undang-undang lama yang sudah ketinggalan zaman, mengemukakan cadangan reformasi yang relevan, adil dan mesra rakyat, serta memastikan pentadbiran kita selari dengan keperluan semasa.

"Ini adalah cara untuk memperbaiki tadbir urus negeri dan memastikan Sabah terus progresif serta dihormati,” katanya.

Sementara itu Hajiji mengesahkan bahawa Dewan Undangan Negeri Sabah akan dibubarkan sebelum penggalnya berakhir pada 11 November, lapor Free Malaysia Today.

Bagaimanapun, dia tidak menyebut sama ada pembubaran itu akan diumumkan bulan depan atau pada bulan November.

Pilihan raya negeri mesti diadakan selewat-lewatnya pada 7 Disember 2025 dan dijangka menyaksikan persaingan pelbagai penjuru, dengan GRS dijangka berdepan BN meskipun wujud “pakatan cinta tiga segi” yang diusahakan oleh PH.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS