Adik kepada seorang menteri kabinet direman sehari hari ini bagi membantu siasatan polis berhubung kes memiliki dadah.

Hakim Mahkamah Majistret Bentong, Mohd Rosly Mohamed Nawi menetapkan tempoh itu terhadap ahli perniagaan berusia 43 tahun itu bersama seorang rakannya berusia 40 tahun.

Kedua-dua lelaki itu ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Perting, Bentong, pada 1 tengah hari semalam kerana disyaki memiliki dadah ketamin dianggarkan seberat 1 gram dan dua paket plastik mengandungi serbuk kristal dipercayai syabu seberat 2 gram.

Menurut laporan Bernama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri Pahang, Supt Baljeet Singh, ketika ditemui pemberita di Kuantan, mengesahkan kejadian itu.