Stesen radio Minnal FM digesa supaya menarik balik penggantungan tugas beberapa juruhebahnya yang didakwa terbabit dalam perhimpunan anjuran Barisan Bertindak Hak Hindu (Hindraf).

Pusat Pemantau Media Bagi Kewartawaan Independen (CIJ) dan Pakatan Penulis Media Independen (WAMI) berkata, mereka memandang berat bahawa pembabitan dalam perhimpunan tersebut telah dijadikan asas untuk menggantung tugas juruhebah terbabit.

"Tindakan yang diambil terhadap juruhebah tersebut hanya menimbulkan persepsi bahawa kerajaan tidak bertoleransi terhadap hak-hak demokrasi kakitangannya," kata CIJ dan WAMI dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Menurut mereka, tindakan penggantungan tugas itu menunjukkan bahawa FM Minnal menganggap pembabitan peribadi kakitangannya dalam perhimpunan awam sebagai satu kesalahan.

"CIJ dan WAMI ingin menegaskan bahawa kebebasan berhimpun adalah satu hak yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan dan juruhebah radio terbabit tidak seharusnya didiskriminasi kerana hubungan profesional mereka dengan pihak kerajaan.

"Kami menggesa Minnal FM supaya menggantung siasatan dan menarik balik dengan segera penggantungan tugas juruhebah terbabit," katanya mereka lagi.

Menurut kenyataan itu lagi, Pengarah stesen tersebut, M Raja Sekaran - ketika dihubungi CIJ untuk mendapatkan komen - enggan mengesah dan menjawab soalan.

Dakwaan melalui SMS

Semalam Malaysiakini melaporkan bahawa tujuh juruhebah Minnal FM telah digantung tugas kerana didakwa terbabit dalam perhimpunan pada 25 November lalu dan kerana menyokong Hindraf.

Sumber-sumber berkata, beberapa juruhebah, sesetengahnya juruhebah popular, dipecat manakala yang lainnya digantung tugas sementara menunggu siasatan dijalankan.

Usaha untuk menghubungi Raja Sekaran tidak berhasil. Bagaimanapun, akhbar berbahasa Tamil - Makkal Osai - hari ini memetik juruhebah K Meenakumari sebagai mengesahkan penggantungan tugas tujuh juruhebah, termasuk dirinya.

Akhbar tersebut menamakan enam lagi juruhebah tersebut sebagai K Sillalee (kiri), V Jamuna (kanan), Mahendran Veluplay, Kavirajan Jagarajan, Vijayan Muruti dan Dhayalan Sharmugan.

"Kami telah dituduh menyertai perhimpunan Hindraf, itu tidak betul. Kami diarah supaya jangan masuk bilik penyiaran sehingga siasatan selesai dijalankan," katanya dalam laporan akhbar tersebut.

Menurutnya lagi, Minnal FM mengambil tindakan terhadap mereka berdasarkan kepada SMS yang mendakwa tujuh juruhebah tersebut menyokong Hindraf dan menyertai perhimpunan anjurannya.

Perhimpunan Hindraf itu telah menarik kira-kira 30,000 orang yang berarak ke Suruhanjaya Tinggi British di ibunegara untuk menyerahkan petisyen yang mendakwa kaum India telah dipinggirkan sejak dibawa masuk ke Malaya sebagai buruh.

Kerajaan mengecam perhimpunan tersebut yang menurutnya haram dan menafikan dakwaan bahawa masyarakat India di negara ini telah dipinggirkan. Berita asal