Siasatan terhadap individu terbabit rasuah tetap dilakukan tanpa memilih bulu meskipun membabitkan tokoh yang dianggap berjasa pada negara, kata perdana menteri.
Menurut Anwar Ibrahim, jika jasa seseorang itu menjadi penghalang kepada sebarang siasatan dan tindakan, keadilan boleh terganggu kerana semua pihak termasuk tukang sapu mempunyai jasa pada negara.
Bahkan kata Anwar, Firaun yang zalim juga mempunyai jasa jika ingin diambil kira dari aspek itu.
"Ini dah kenapa tangkap orang itu, dia berjasa kepada semua orang...
"(Sebenarnya) Semua orang ada jasa. Tukang cuci ada jasa, penghulu ada jasa, orang korup pun ada jasa.
"Firaun ada jasa, (misalnya) bagi ribu-ribu orang makan setiap hari, tapi jasa (cara) Firaunlah," katanya ketika berucap pada majlis sambutan Ulang Tahun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke-58 dan pelancaran Keep Malaysia Clean di Puspanitapuri, Putrajaya, hari ini.
Hadir sama, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki.
Anwar bagaimanapun menegaskan kenyataan itu bukanlah bermakna dia membandingkan Firaun dengan mana-mana individu yang ditangkap kerana terbabit dengan salah laku rasuah ketika ini.
"Bukanlah saya bandingkan dengan sekarang, jangan salah faham. Esok media ini, kita tahu media, kita tahu ada sesuatu yang tertentu 'Anwar menyamakan orang ini dengan Firaun'.
"Tidak ada, saya tak maksud begitu, astaghfirullahalazim, tidak maksud membandingkan," katanya sambil berseloroh.
Dalam pada itu Anwar memuji SPRM di bawah kepimpinan Azam yang berani bertindak terhadap pembesar yang berperpengaruh dalam negara ini.
Katanya, ia merupakan sejarah yang belum pernah dilakukan oleh badan penguat kuasa itu sejak negara mencapai kemerdekaan.
"Mana pernah dalam sejarah keberanian SPRM untuk bertindak kepada pembesar-pembesar yang paling berpengaruh? Satu, dua, tiga, empat orang dan lebih. Belum pernah dalam sejarah.
"Saya baca sejak tahun 1957 kita merdeka. Ada sesekali seorang menteri, ada. Menteri besar, ada. Tetapi suatu tindakan menyeluruh dengan teliti, dengan berani, sedia mengambil risiko.
“Ini yang telah dilakukan oleh SPRM yang kami banggakan dan saya salute (tabik) kepada keberanian saudara-saudara," kata Anwar lagi.
