Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penunjuk perasaan sekat jalan ke kedutaan Amerika

Himpunan anti-Israel di hadapan kedutaan Amerika Syarikat (AS) di ibu negara kecoh susulan ketegangan dengan polis kerana peserta menyekat laluan keluar masuk ke bangunan itu.

Demonstrasi anjuran sebuah badan bukan kerajaan (NGO) itu bagi menyatakan bantahan terhadap penahanan aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) oleh Tentera Pertahanan Israel (IDF) pagi ini.

Ketegangan sedikit tercetus apabila pihak polis cuba meleraikan tindakan peserta demonstrasi daripada menghalang lalu lintas.

Terdapat juga peserta yang ditahan kerana mencetuskan provokasi, namun tidak dapat dipastikan sama ada dibawa ke balai ataupun tidak.

Peserta himpunan itu yang hanya mahu dikenali sebagai Ili Farhana mengesahkan dua rakan mereka ditahan selepas kekecohan tercetus.

"Dua orang peserta demo ditahan dan dibawa ke balai polis Wangsa Maju saya difahamkan.

"Kami tidak mewakili mana-mana NGO atau parti politik, kami rakyat Malaysia yang mahu supaya kekejaman ke atas Palestin dihentikan," katanya.

Dia turut menggesa kerajaan supaya mengambil tindakan tegas bagi membebaskan aktivis GSF.

Setakat berita ini ditulis, dianggarkan sekitar 40 orang berkumpul di hadapan kedutaan AS bagi menyatakan bantahan terhadap Israel.

Mereka berhimpun seawal jam 12 tengah hari di hadapan kedutaan bagi menuntut pembebasan aktivis GSF.

Setakat jam 7.50 pagi waktu Malaysia, seramai 17 rakyat Malaysia dilaporkan terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) selepas kapal mereka dipintas.

Mereka termasuk Zizi Kirana yang menaiki kapal Huga, dan Sul Aidil yang berada di atas kapal Alma.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengutuk sekeras-kerasnya tindakan rejim Israel memintas misi kemanusiaan dibawa GSF ketika ia membawa orang awam yang tidak bersenjata ke Gaza.

Katanya Malaysia akan menggunakan semua kaedah yang sah dan mengikut undang-undang bagi memastikan Israel dipertanggungjawabkan, khususnya berhubung warganegara Malaysia.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS