Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
'Hancur Israel' bergema, tiada wakil kedutaan AS mahu terima memo

Himpunan anti-Israel di hadapan kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Kuala Lumpur sejak pagi tadi masih berterusan dan kini disertai ribuan hadirin.

Protes daripada kumpulan berbeza ini dimulakan dengan perarakan sekitar jam empat petang dari berdekatan bangunan Lembaga Tabung Haji sebelum berkumpul di depan bangunan kedutaan tersebut.

Di sana, beberapa tokoh menyampaikan ucapan mengecam kekejaman Israel serta menuntut pembebasan aktivis Global Sumud Flotilla (GSF).

Ketua Pemuda PKR Kamil Munim mengetuai kumpulan demo bagi menghantar memorandum ke kedutaan AS.

Bagaimanapun, memorandum yang memuatkan tiga tuntutan utama gagal diserahkan. Ini selepas wakil kedutaan AS didakwa enggan untuk keluar menerimanya atas alasan keselamatan.

Menurut Kamil, dia sendiri telah menghubungi pihak kedutaan untuk menyampaikan memorandum itu.

“Memorandum itu mendesak pembebasan segera semua sukarelawan yang ditahan, menuntut jaminan keselamatan aktivis tidak bersenjata.

“Selain itu, menolak cadangan Washington mengenai pelan pembangunan Gaza yang dianggap mengetepikan suara rakyat Palestin,” katanya pada sidang media di luar bangunan kedutaan AS di Kuala Lumpur, hari ini.

Sehubungan itu, katanya, mereka akan hadir semula bagi menyerahkan memorandum selepas solat Jumaat esok.

“Lepas Jumaat ini, kita tuntut AS supaya terima dengan berani,” katanya.

Selain Kamil, antara ahli politik lain yang turut serta adalah Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Maszlee Malik serta Ketua Umno Subang, Armand Azha Abu Hanifah.

Turut serta pada himpunan ini, Naib Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu, Pemangku Presiden Muda Amira Aisya Abdul Aziz serta beberapa pemimpin akar umbi PAS.

Kawasan perkarangan kedutaan di kawal rapi oleh pihak keselamatan bagi memastikan tiada sebarang kejadian tidak diingini.

"Saya telah berhubung dengan pihak keduataan dan mereka tak dapat menerima memorandum atas alasan keselamatan," katanya ketika berucap.

Di hadapan kedutaan peserta demo turut melaungkan "hancur Israel", "free Palestine" dan "US pengecut".

Demonstrasi yang berakhir sekitar jam 5.15 petang itu turut disertai beberapa orang selebriti bagi menyatakan sokongan kepada rakan mereka ditahan IDF.

Antara kelibat selebriti yang hadir Fikry Ibrahim, Bell Ngasri dan pelawak Mamat Puteh.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS