Seorang ketua pemuda sebuah pembangkang hari ini membuat laporan polis terhadap bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik yang didakwanya telah mengapi-apikan kebencian terhadap kaum bukan Melayu.

Ketua Pemuda DAP Melaka, Tey Kok Kiew membuat laporan tersebut berasaskan kepada artikel yang disiarkan dalam akhbar berbahasa Cin - China Press - Ahad lalu.

Laporan antara lain melaporkan Rahim berkata orang Melayu tidak pernah mengadakan protes dan oleh itu jangan memaksa mereka berbuat demikian kerana mereka akan mengeluarkan parang untuk mempertahan ketuanan Melayu di negara ini.

Abdul Rahim dikatakan membuat kenyataan tersebut dalam ucapannya selaku Pengerusi Gabungan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) dalam satu majlis di Melaka Sabtu lalu.

Dalam laporan yang dibuat di balai polis Melaka Tengah, Tey menuduh Abdul Rahim cuba menggunakan keganasan untuk mempertahankan ketuanan Melayu, dengan menyampaikan ucapan yang berunsur hasutan.

Menurutnya, Abdul Rahim cuba mempengaruhi masyarakat Melayu supaya bertindak ganas terhadap bukan Melayu yang mengadakan protes.

Beliau juga berkata, Abdul Rahim menggalakkan keganasan dalam ucapannya itu.

Tey berkata, pihak polis mesti menyiasat dan bertindak terhadap Abdul Rahim jika beliau didapati membuat kenyataan berunsur hasutan itu.

Perhimpunan kaum India

Ucapan Abdul Rahim dipercayai dibuat ekoran perhimpunan rakyat yang berlangsung di Kuala Lumpur bulan lalu.

Pada 25 November, kira-kira 30,000 rakyat Malaysia keturunan India mengadakan perhimpunan di Jalan Ampang dan cuba berarak ke Suruhanjaya Tinggi British untuk menyerahkan petisyen yang mendakwa mereka telah dipinggirkan sejak dibawa untuk bekerja sebagai buruh di Malaya.

Polis menggunakan gas pemedih mata dan pancutan air untuk menyuraikan mereka. Para pemimpin kerajaan kemudiannya mengecamkan perhimpunan tersebut sebagai bermotifkan perkauman.

Penganjur perhimpunan itu telah dituduh sebagai "pembohong dan ekstrimis" kerana mendakwa berlakunya penghapusan kaum India di negara ini.

Berita asal