Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'FAM tak boleh berdiam diri, mesti jawab pendedahan Fifa'
Diterbitkan:  Oct 7, 2025 10:20 AM
Dikemaskini: 4:08 AM

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh kelihatan mengambil pendirian tegas selepas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) mengeluarkan kenyataan bagi mengukuhkan tindakan mereka ke atas FAM dan tujuh pemain yang didakwa mempunyai pertalian dengan negara ini.

Yeoh turut mengingatkan bahawa kejadian itu menyebabkan peminat bola sepak di negara ini berasa kecewa.

“FAM tidak boleh berdiam diri dan mesti menjawab secara jelas segala pendedahan yang dibuat Fifa.

“Penyokong bola sepak tanah air berasa terluka, marah dan kecewa,” katanya ketika dihubungi.

Yeoh dalam kenyataan sama turut mengingatkan bahawa Harimau Malaya akan berdepan dengan cabaran pasukan Laos pada minggu ini.

“Kepada pemain Malaysia, kami sentiasa bersama anda," katanya.

Fifa hari ini mengeluarkan alasan keputusannya menghukum FAM dan tujuh pemain terbabit.

Menurut Fifa dapatan siasatan mereka menunjukkan maklumat yang diberikan oleh FAM berbeza dengan dokumen yang diperolehi.

Berbanding dakwaan FAM datuk atau nenek pemain terbabit lahir di negara ini suatu ketika dulu, bukti yang diperolehi menunjukkan tempat kelahiran mereka ialah di Sepanyol, Argentina, Brazil dan Belanda.

Dakwaan asal dibuat FAM ialah datuk atau nenek Gabriel Felipe Arrocha lahir di Melaka, manakala Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado dan Imanol Javier Machuca di Pulau Pinang.

Datuk atau nenek Joao Vitor Brandao Figueiredo pula dikatakan lahir di Johor, Jon Irazábal Iraurgui di Sarawak dan Hector Alejandro Hevel Serrano di Melaka.

FAM pagi ini menegaskan mereka akan membuat rayuan mengikut saluran yang ada namun memandang serius kesimpulan yang dibuat Fifa.

Pada masa sama, FAM menegaskan mereka sudah memiliki bukti yang lengkap dan mencukupi untuk menyokong rayuan tersebut.

Namun badan bola sepak Malaysia itu juga menegaskan mereka terikat dengan undang-undang, justeru tidak boleh mendedahkan bukti tersebut sewenang-wenangnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS