Pertubuhan Kebajikan Dakwah dan Islamiah (Pekida) menafikan bahawa pertubuhan tersebut merancang untuk mengadakan perhimpunan orang Melayu di kawasan Kampung Baru di ibu negara pada 16 Disember ini.

Pengerusi Pekida Wilayah Persekutuan, Mazni Abdul Ghani berkata, pihaknya tidak tahu menahu mengenai perhimpunan yang dikatakan akan diadakan itu.

"Ada pihak lain yang cuba menggunakan nama Pekida mengenai perkara tersebut sedangkan kami tidak tahu menahu dan tidak terbabit langsung.

"Pihak yang tidak bertanggungjawab itu yang cuba merosakkan nama baik kami untuk menarik lebih ramai penyertaan orang Melayu," katanya ketika diminta mengulas khabar angin mengenai perhimpunan tersebut.

Khabar angin mengenai perhimpunan tersebut mula tersebar sejak beberapa hari lalu yang dihantar melalui SMS.

Menurut SMS itu lagi, perhimpunan terbabit akan diadakan di Kelab Dewan Sultan Sulaiman di Kampung Baru mulai jam 730 pagi.

Mazni berkata, jika khabar angin yang mengaitkan nama Pekida terus digunakan, pihaknya tidak teraga-agak akan membuat laporan polis bagi membersihkan nama pertubuhan tersebut.

'Perhimpunan tidak perlu'

"Mereka cuba melaga-lagakan kami dengan pihak berkuasa sedangkan kami tidak pernah menentang kerajaan," tambahnya.

Menurutnya, beliau percaya penyebaran SMS adalah lanjutan daripada tindakan Hindraf mengadakan perhimpunan kaum India di Kuala Lumpur 25 November lalu.

Sementara itu, seorang pemimpin Umno bahagian Titiwangsa yang enggan namanya disiarkan berkata, Umno bahagian itu tidak menganjurkan sebarang perhimpunan.

"Malah perhimpunan sedemikian rupa tidak perlu kerana ia boleh meningkatkan lagi sentimen perkauman," katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihat orang ramai khususnya penduduk Kampung Baru supaya bertenang dan tidak dipengaruhi oleh emosi dan sentimen perkauman.

Pada 25 November lalu, Hindraf telah menganjurkan perhimpunan rakyat di ibunegara untuk menyerahkan memorandum tersebut kepada Suruhanjaya Tinggi British.

Ia bagi menyokong saman yang difailkan oleh Hindraf terhadap kerajaan British yang menuntut gantirugi AS4 trilion kerana membawa rakyat India ke Malaysia sebagai buruh pada 1880-an dan mengeksploitasi mereka selama 150 tahun.