Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sara RM100 datang lagi tahun depan
Diterbitkan:  Oct 10, 2025 5:42 PM
Dikemaskini: 11:29 AM

Kerajaan melalui Belanjawan 2026 mengumumkan pemberian Sumbangan Asas Rahmah (Sara) sebanyak RM100 kepada 22 juta rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas, yang dijangka disalurkan pada pertengahan Februari tahun depan.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata, bantuan ini bertujuan meringankan beban rakyat dalam menghadapi kos sara hidup terutama menjelang musim perayaan Ramadan dan Tahun Baru Cina.

“Sukacita saya umumkan, Kerajaan sekali lagi akan memberi 100 ringgit Sara kepada 22 juta rakyat Malaysia 18 tahun ke atas. 

“Ini akan disalur pada pertengahan Februari yang boleh dimanfaat untuk persiapan Ramadan dan sambutan Tahun Baru Cina,” katanya.

September lalu, kerajaan mengumumkan bantuan Sara RM100 secara sekali beri untuk semua warganegara berusia 18 tahun ke atas tanpa mengira pendapatan.

Bantuan ini mula dikreditkan pada 31 Ogos dan boleh digunakan untuk pembelian barangan asas secara tanpa tunai di kedai rakan niaga sehingga akhir tahun.

Menurut Anwar yang juga menteri kewangan, lebih 70 peratus peruntukan untuk Sara sudah dibelanjakan dan seperti yang dijanjikan, baki Sara yang tidak dibelanjakan menjelang Disember akan diagih semula untuk program rakyat susah.

“Sebagai janji kerajaan, baki Sara yang tidak dibelanjakan akan diagihkan semula untuk program rakyat yang memerlukan menjelang Disember,” katanya.

Selain itu, Anwar memaklumkan bahawa seramai 9 juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) akan menerima bantuan Sara sehingga RM100 sebulan, atau RM1,200 setahun.

Manakala sejuta penerima STR di bawah program e-Kasih akan menerima sehingga RM200 sebulan, bersamaan RM2,400 setahun.

Bantuan bagi kategori bujang pula ditetapkan RM600 setahun.

“Jumlah maksimum bantuan yang boleh diterima oleh isi rumah ialah RM4,600, termasuk STR sebanyak RM2,200 dan Sara RM2,400 bagi pendapatan di bawah RM2,500 sebulan dengan lima anak,” katanya.

Tambah Anwar, keseluruhan peruntukan untuk STR dan Sara bagi tahun 2026 berjumlah RM15 bilion, yang dijana hasil penjimatan daripada penyasaran subsidi khusus untuk diesel dan petrol RON95.

Anwar juga menegaskan, kerajaan komited memastikan program bantuan disalurkan secara adil tanpa mengira latar belakang kaum, bagi memastikan manfaatnya dapat dirasai oleh semua rakyat Malaysia.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS