Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bersatu pecat Wan Saiful, gantung Wan Fayhsal
Diterbitkan:  Oct 14, 2025 9:06 AM
Dikemaskini: 1:44 AM

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan, dipecat daripada Bersatu manakala Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Machang) digantung keahliannya selama satu penggal.

Wan Saiful dan Wan Ahmad Fayhsal itu adalah dua daripada enam ahli Bersatu yang dikenakan tindakan oleh badan disiplin parti kerana melanggar peraturan yang ditetapkan parti terbabit.

Empat yang turut dikenakan tindakan dipecat ialah Mohd Azrudin Md Idris dari bahagian Hang Tuah Jaya, Mohd Faizal Asmar (Pengerang), Mohd Fadhli Ismail (Ipoh Timur) dan Mohd Isa Mohd Saidi (Ampang).

Menurut Lembaga Disiplin Bersatu, mereka menjalankan siasatan selepas menerima aduan bertulis daripada ahli berhubung pelanggaran perlembagaan dan tatakelakuan parti.

“Sehubungan itu, lembaga disiplin mengambil tindakan menyiasat aduan dan memanggil responden-responden untuk sesi pendengaran pada 8 Okt dan seterusnya membuat keputusan selaras dengan Fasal 22.5 Perlembagaan Bersatu,” katanya.

Menurut badan itu lagi responden didapati melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu dan kod etika dan tatakelakuan parti.

Semua mereka mempunyai tempoh 14 hari untuk mengemukakan rayuan untuk dipertimbangkan oleh badan tersebut.

“Lembaga disiplin membuat keputusan berdasarkan siasatan yang telah dijalankan serta pertimbangan yang sewajarnya tanpa melibatkan mana-mana campur tangan pihak lain, bebas, dan tidak berat sebelah.

“Lembaga disiplin juga menyeru kepada semua ahli Bersatu supaya mematuhi perlembagaan dan peraturan demi menjaga nama baik parti,” katanya.

Sebelum ini Wan Saiful membuat kejutan apabila mengkritik Setiausaha Agung Bersatu, Azmin Ali, serta menjelaskan langkah sesetengah pemimpin parti itu mengumpul akuan berkanun (SD) dalam kalangan ketua-ketua bahagian bukan bertujuan untuk mengetepikan presiden mereka, Muhyiddin Yassin.

Dia yang juga bekas ketua penerangan Bersatu mendakwa naratif tersebut diputar belit oleh pihak tertentu.

Pada 8 Okt lalu selepas dipanggil menghadap Lembaga Disipin Bersatu, Wan Saiful sempat memberi amaran bahawa mungkin akan ada reaksi yang tidak diingini parti jika dia dan pemimpin lain terus “ditekan”.

Wan Saiful juga memberi bayangan yang dia memiliki banyak maklumat dalaman parti, termasuk hubungan yang dibuat pemimpin tertentu dengan parti lawan - atau parti dalam kerajaan - untuk berbincang sesuatu.

Tidak cukup dengan itu, Wan Saiful, 50, juga mendakwa mereka tahu ada individu dalam Bersatu yang memperoleh wang sehingga berjuta-juta ringgit daripada pihak lain.

“Tapi kita tak dedahkan setakat ini, cuma janganlah 'tolak' kuat sangat sebab takut nanti ada reaksi,” katanya.

Untuk rekod, Wan Ahmad Fayhsal turut dipanggil – dan hadir – pada sesi memberi keterangan di hadapan Lembaga Displin Bersatu pada 8 Okt lalu namun slot untuk bekas ketua pemuda parti itu ditangguhkan.

Wan Ahmad Fayhsal mendakwa sesi berkenaan tidak dipersetujuinya untuk diteruskan kerana wujud konflik kepentingan dalam kalangan panel lembaga disiplin.

"Saya telah hadir dan berdepan dengan lembaga disiplin yang dipengerusikan oleh Mohammed Radzi Abdul Manan yang merupakan bapa mentua kepada Datuk Seri Faizal Azumu, dan juga bapa kepada salah seorang ahli majlis pimpinan tertinggi parti,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS