Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) telah membatalkan serta merta lesen perniagan Syarikat Hindraf Enterprise yang dipercayai ada kaitan dengan Hindu Right Action Force (Hindraf).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Mohd Shafei Apdal berkata tindakan tersebut dibuat mengikut Seksyen 5 (c) Subseksyen 2 Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 kerana didapati terlibat dengan kegiatan bukan perniagaan yang boleh mengancam keselamatan negara.

Beliau mengumumkan demikian ketika berucap di Malam Anugerah Media Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal-Ehwal Pengguna di Kuala Lumpur malam tadi.

Shafei bagaimanapun tidak memberikan butir-butir lanjut, demikian menurut Bernama.

Hindraf telah menganjur perjumpaan menganjurkan perhimpunan rakyat di ibunegara pada 25 November lalu sebagai membantah peminggiran masyarakat India di negara ini. Kira-kira 30,000 orang - sebahagian besarnya dari kalangan masyarakat India menyertai perhimpunan tersebut.

Ia diadakan sebagai menyokong tindakan saman yang difailkan oleh Hindraf terhadap kerajaan British dan menuntut gantirugi AS4 trillion kerana telah membawa rakyat India untuk menjadi buruh di Malaysia serta mengeksploitasi mereka selama 150 tahun.

Bagaimanapun, mereka gagal untuk menyerahkan petisyen kepada Suruhanjaya Tinggi British pada hari berkenaan kerana dihalang oleh pihak polis.

Pihak polis juga telah menolak permohonan untuk mendapatkan permit mengadakan perhimpunan tersebut.

Sehingga ini ramai penyokong Hindraf yang menyertai perhimpunan itu didakwa di mahkamah atas tuduhan menyertai perhimpunan.

Pemimpin Hindraf nafi

Seramai 31 daripada mereka turut menghadapi tuduhan cubaan membunuh seorang anggota polis ketika berhimpun di kuil Batu Caves pada awal pagi 25 November lalu.

Pihak berkuasa juga menuduhkan Hindraf mendapatkan sokongan dari kumpulan-kumpulan pengganas.

Dakwaan itu dibuat oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dalam satu kenyataan kelmarin.

Dakwaan yang sama juga dibuat oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail di mahkamah Rabu lalu apabila beliau mendakwa Hindraf telah bertemu dengan anggota LTTE.

Bagaimanapun, Penasihat Undang-undang Hindraf, P Uthayakumar dan Pengerusi Hindraf, P Waythamoorthy menafikan dakwaan tersebut.

Seorang pakar mengenai Barisan Pembebasan Tamil Elam (LTTE), P Ramasamy juga menyifatkan dakwaan bahawa Hindraf 'ada hubungan' dengan LTTE tidak berasas sama sekali.

Sebaliknya, Ramasamy - yang pernah menganggotai Jawatankuasa Halehwal Perlembagaan LTTE untuk menyediakan draf bagi pentadbiran sementara di wilayah Timur Laut Sri Langka - berkata dakwaan seumpama itu menunjukkan kerajaan cuba mengalih tumpuan dari isu tuntutan masyarakat India Malaysia.