Mengulas desakan agar Malaysia Airlines (MAS) tidak menghidangkan alkohol, seorang ahli parlimen DAP menyindir dengan menyarankan agar pemimpin parti itu menubuhkan syarikat penerbangan sendiri.
Bercakap di Dewan Rakyat hari ini, backbencher Lim Lip Eng (Pakatan Harapan-Kepong) menyelar cadangan "tidak demokratik" daripada parti pembangkang itu, dengan menekankan bahawa pilihan untuk mengambil minuman beralkohol adalah hak individu yang diberikan kepada bukan Islam.
“Syarikat penerbangan dari negara-negara muslim, dari Arab seperti Emirates, Etihad, Gulf Air sendiri hidangkan arak.
"Kepada PAS, jika begitu tak suka, saya cadangkan tubuhkan syarikat sendiri, panggil PAS Airlines. Nantikan berapa lama PAS Airlines boleh tahan sebelum bankrup," sindir Lim semasa perbahasan Belanjawan 2026.
Minggu lalu, Ahli Parlimen PAS Mohd Hasnizan Harun (PN-Hulu Selangor) mengulangi gesaan parti itu agar MAS berhenti menghidangkan alkohol dalam penerbangan, dengan alasan pramugari dan pelanggan beragama Islam berada dalam dilema yang tidak selesa disebabkan perkara itu.
"Ini bukan tentang menafikan hak sesiapa - ia mengenai menghormati agama dan sensitiviti majoriti rakyat Malaysia," katanya kepada Dewan Rakyat ketika itu.
Pada 2017, Ketua Pemuda PAS ketika itu Ahmad Fadhli Shaari telah mengeluarkan cadangan yang sama selepas seorang penumpang, yang dipercayai mabuk, telah memasuki kokpit penerbangan Malaysia Airlines ke Kuala Lumpur, memaksa pesawat itu berpatah balik ke Melbourne.
Tahun sebelumnya, Rayani Air, sering disebut-sebut sebagai syarikat penerbangan halal pertama di Malaysia yang disahkan sepenuhnya, menutup operasinya selepas hanya lima bulan berikutan isu pengurusan, keselamatan, mogok juruterbang dan kekurangan dana.
Mengenai perkara berasingan, Lim juga menggesa pihak berkuasa menyiasat dakwaan Presiden PAS Abdul Hadi Awang (PN-Marang) bahawa parti itu tidak menamakan calon perdana menteri kerana bimbang individu itu boleh disabotaj.
“Memandangkan kenyataan amat serius dan boleh jejaskan imej negara, minta polis dan SPRM ambil keterengan dari Marang (Hadi) untuk kenal pasti individu atau kumpulan yang didakwa, atau sekadar cerita dongeng yang direka oleh Marang untuk terus memperdayakan penyokong PAS," kata Lim.
Hadi sebelum ini berkata dia bimbang "jongkong emas atau dadah" boleh diletakkan dalam kenderaan calon perdana menteri PAS - jika identiti mereka diketahui umum - dalam usaha menghalang mereka daripada bertanding jawatan itu.
*Laporan oleh Qistina Nadia Dzulqarnain, Hariz Mohd, Dania Kamal Aryf, Shakira Buang
