Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Saksi nampak Zara 'pucat-pucat sikit' dalam tandas asrama
Diterbitkan:  Oct 23, 2025 9:45 PM
Dikemaskini: 1:45 PM

Seorang pelajar junior memberitahu Mahkamah Koroner Kota Kinabalu bahawa dia melihat wajah Zara Qairina Mahathir dalam keadaan pucat ketika remaja terbabit berada di dalam tandas asrama pada malam sebelum ditemui meninggal dunia.

Keterangan itu diberikan saksi kanak-kanak ke-20 yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar pada hari ke-27 prosiding inkues kematian Zara Qairina di hadapan koroner Amir Shah Amir Hassan hari ini.

Berkongsi keterangan itu, peguam Mohd Syarulnizam Mohd Salleh yang mewakili ibu kepada Zara Qairina berkata, saksi memaklumkan insiden berkenaan berlaku pada jam 12.30 tengah malam 16 Julai, selepas dia ke tandas bersama seorang rakan di aras tiga asrama sekolah terbabit.

“Semasa menunggu, saksi menghadap cermin dan dia ternampak dari cermin kepala dan muka Zara di atas dinding tandas nombor satu.

"Saksi berkata keadaan Zara seolah-olah sedang memerhati siapa yang ada dalam tandas.

“Lampu tandas ketika itu berpasang dan saksi dapat cam Zara. Muka Zara pada ketika itu kelihatan ‘pucat-pucat sikit’,” kata Mohd Syarulnizam ketika berkongsi keterangan saksi kepada pemberita selepas prosiding.

Dia berkata saksi turut memaklumkan yang mereka menunggu kira-kira lima minit namun Zara Qairina tidak keluar dari tandas. Mereka kemudian beredar untuk mengejutkan ketua dorm serta rakan-rakan dalam bilik pelajar berkenaan.

“Namun, tidak ada ahli dorm yang mahu bangun… Ketua dorm cuma berkata ‘Kenapa dia berkurung juga tu? Biarla dia tu’.

"Ahli dorm lain pula cuma kelihatan mamai dan cuma sambung tidur semula saja,” tambah Mohd Syarulnizam.

Dia berkata saksi juga mengesahkan wujud budaya teguran keras dan sindiran oleh pelajar senior terhadap pelajar junior di asrama, termasuk dengan cara menegur kuat tanpa menyebut nama pelajar yang boleh menyebabkan rasa malu kepada pelajar junior.

Sementara itu, peguam Joan Goh yang mewakili seorang kanak-kanak dalam kes buli Zara Qairina berkata saksi kanak-kanak ke-21 yang juga pelajar di sekolah itu memberitahu mahkamah, pelajar terbabit seorang yang suka memendam perasaan dan menulis dalam diari.

Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu pada 17 Julai lalu selepas ditemui tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada 4 pagi, 16 Julai.

Prosiding Inkues akan bersambung pada Isnin ini.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS