Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Arak di sekolah: Kabinet kekalkan garis panduan sedia ada

Kabinet hari ini memutuskan untuk mengekalkan peraturan dan garis panduan sedia ada mengenai penghidangan minuman beralkohol di dewan sekolah Cina.

Ini bermakna minuman beralkohol boleh terus dihidangkan apabila dewan di sekolah Cina disewakan kepada orang ramai untuk acara yang tidak melibatkan pelajar.

Jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil mengumumkan keputusan itu semasa sidang media pasca mesyuarat kabinet di Putrajaya petang ini.

"Pertama, dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada hari ini dibincangkan mengenai isu sekolah dan penganjuran acara yang anda menyediakan, menyajikan minuman beralkohol.

"Jemaah Menteri telah diingatkan dan telah memutuskan bahawa garis panduan serta amalan sedia ada adalah terpakai tidak ada perubahan kepada garis panduan sedia ada," katanya.

Menurut Fahmi, Kementerian Pendidikan akan mengeluarkan kenyataan susulan untuk menjelaskan perkara itu.

Dia menambah bahawa amalan tertentu terpakai kepada sekolah Cina kerana sebahagian daripadanya mempunyai kemudahan yang dibina dan diselenggara sama ada oleh lembaga pengurusan sekolah atau pihak swasta.

Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberitahu Dewan Rakyat bahawa dia lebih berpendirian agar alkohol tidak dihidangkan di kawasan sekolah.

Kenyataannya dibuat sebagai tindak balas kepada isu yang dibangkitkan oleh ahli parlimen pembangkang Ahmad Fadhli Shaari mengenai penghidangan alkohol pada perhimpunan alumni baru-baru ini yang diadakan di Institusi St Michael di Ipoh.

Anwar berkata prinsip melarang arak dan perjudian di kawasan sekolah boleh dikuatkuasakan di sekolah awam, namun mengakui bahawa kerajaan mempunyai kuasa terhad ke atas sekolah swasta.

Susulan itu, penasihat DAP Lim Guan Eng mengecam perdana menteri, dengan mengatakan kenyataannya telah menyebabkan kekecewaan dalam kalangan rakyat Cina Malaysia, kerana langkah itu dilihat sebagai pencerobohan yang tidak perlu ke atas adat resam yang telah lama wujud.

Lim, yang merupakan Ahli Parlimen Bagan, menegaskan bahawa dewan komuniti Cina di sekolah vernakular, selama beberapa dekad, telah menganjurkan majlis perkahwinan, makan malam dan acara hiburan dengan alkohol secara tradisinya dihidangkan - semuanya diadakan di luar waktu sekolah dan tanpa penglibatan pelajar.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS