Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dilihat menari di permaidani merah sebaik sahaja ketibaannya di Malaysia.
Sekumpulan penari ketika itu membuat persembahan di luar Kompleks Bunga Raya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai sebahagian daripada sambutan selamat datang yang disediakan untuk Trump.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang berada di sana untuk menyambut Trump, dilihat terhibur dengan gelagat presiden AS itu, sambil turut serta menggerak-gerakkan badan mengikut tariannya.
Berpakaian sut biru dengan tali leher merah, Trump menyertai kumpulan penari itu selepas turun dari Air Force One.
Para penari, yang memakai pelbagai pakaian tempatan, mempersembahkan tarian dengan iringan muzik tradisional yang menampilkan kompang.
Selepas itu, Trump mengambil Jalur Gemilang daripada seseorang di kalangan orang ramai dan mengibarkannya bersama bendera AS.

Perkembangan ini hadir walaupun terdapat kritikan hebat terhadap ketibaan Trump untuk sidang kemuncak Asean di Kuala Lumpur, dengan ramai yang mengutuk penglibatan AS dalam pembunuhan beramai-ramai oleh Israel di Gaza.
Beberapa pihak, termasuk bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad sebelum ini menggesa Anwar untuk membatalkan jemputan pada Trump untuk menghadiri sidang kemuncak Asean memandangkan perkara ini.
Satu perhimpunan telah diadakan pagi ini di Dataran Merdeka di Kuala Lumpur bagi membantah ketibaan Trump di negara ini.
Pada 21 Okt, Anwar berkata dia akan bercakap dengan Trump tentang situasi di Gaza, selain isu-isu penting yang lain.
Selain Anwar, Menteri Luar Negeri Mohamad Hasan, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail dan duta AS Edgard D Kagan hadir untuk menyambut Trump.
Trump mendarat di Sepang sekitar jam 10 pagi, selepas penerbangan dari Washington.
Selepas meluangkan masa kira-kira 10 hingga 15 minit untuk bersalaman, Trump dan Anwar menaiki "The Beast", sebuah limosin Cadillac berperisai yang diubah suai sepenuhnya dan merupakan kereta rasmi presiden AS.
Kedua-dua mereka akan mengadakan mesyuarat dua hala petang ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, yang juga merupakan tempat Sidang Kemuncak Asean.
Lawatan Trump ke Malaysia adalah yang pertama daripada tiga persinggahannya di Asia - dua negara lain ialah Jepun dan Korea Selatan.
Ini menandakan lawatan pertama daripada presiden AS dalam tempoh sedekad berbanding lawatan terakhirnya pada tahun 2015, semasa pentadbiran Barack Obama.
Ia juga merupakan lawatan rasmi pertama Trump ke Malaysia.
Menurut Bernama, Trump dijangka menyaksikan pemeteraian perjanjian damai antara Thailand dan Kemboja di Kuala Lumpur untuk menamatkan konflik selama beberapa dekad mengenai sempadan bersama negara-negara tersebut.
