Wakil rakyat pembangkang bertindak keluar dewan
Enam belas ahli Parlimen pembangkang bertindak keluar dari sidang Dewan Rakyat hari ini kerana membantah penangkapan 24 penyokong Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih).
Kesemua ahli Parlimen PAS dan DAP yang hadir, meninggalkan dewan kira-kira jam 3.55 petang. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berada di dewan ketika itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dijadual menggulung perbahasan rang undang-undang pindaan perlembagaan bagi melanjut tempoh perkhidmatan anggota Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) termasuk pengerusinya, sehingga usia 66 tahun, jam 4 petang.
Enam belas ahli Parlimen pembangkang bertindak keluar dari sidang Dewan Rakyat hari ini kerana membantah penangkapan 24 penyokong Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih).
Kesemua ahli Parlimen PAS dan DAP yang hadir, meninggalkan dewan kira-kira jam 3.55 petang. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berada di dewan ketika itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dijadual menggulung perbahasan rang undang-undang pindaan perlembagaan bagi melanjut tempoh perkhidmatan anggota Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) termasuk pengerusinya, sehingga usia 66 tahun, jam 4 petang.
Ahli Parlimen tunggal PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak ada di dewan ketika itu.
Mereka meninggalkan dewan selepas M Kula Segaran (DAP-Ipoh Barat) membahaskan pindaan perlembagaan tersebut. Ahli Parlimen pembangkang membantah cadangan pindaaan tersebut serta mengecam tangkapan 24 penyokong Bersih itu.
“Kami rasa tiada guna membahaskan lebih lanjut rang undang-undang tersebut sedangkan penangkapan tersebut telah melanggar kebebasan bersuara di dalam dan di luar Parlimen.
“Kita membuat undang-undang di Parlimen dan ia adalah badan tertinggi penggubal undang-undang. Macam mana polis boleh masuk dan mula menangkap orang," kata Kula Segaran ketika dihubungi kemudiannya.
‘Penghinaan yang nyata’
Ketika ditemui di lobi Parlimen, Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang berkata mereka memutuskan untuk keluar dewan sebagai membantah pembentangan rang undang-undang tersebut serta penangkapan pemimpin pembangkang dan penyokong Bersih.
Beliau menyifatkan penangkapan tersebut sebagai "satu penghinaan nyata terhadap kesucian Parlimen".
"Sedih sekali kerana ahli Parlimen pembangkang sahaja yang bangun mempertahankan maruah Parlimen, sedangkan tidak ada seorangpun ahli Parlimen BN (Barisan Nasional) atau menteri yang menyedari betapa kritikal dan pentingnya isu terbabit," katanya.
Saya rasa ini merupakan hari yang memalukan bagi Parlimen Malaysia dan harus ditekan bahawa (apa yang berlaku itu) tidak boleh ditolakansur dan tidak boleh diterima," tambahnya.
Lim menjelaskan, semua ahli Parlimen DAP akan hadir di Mahkamah Tinggi Jalan Duta pada jam 9.30 pagi esok untuk mengenepikan perintah mahkamah yang diperolehi oleh polis untuk menafikan akses ke Parlimen.
Menurutnya, mereka akan memfailkan writ untuk mengenepikan perintah mahkamah itu yang didakwanya "telah menghina Parlimen".
Sementara itu, ahli Parlimen PAS kawasan Kubang Krian, Salahuddin Ayub berkata, beliau kesal dengan penangkapan bekas naib presiden parti itu, Datuk Mustafa Ali.
"Ia satu penghinaan terhadap Parlimen. Beliau (Mustafa) adalah tetamu saya dan ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaafar . Beliau yang datang ke sini untuk mendengar perbahasan, telah ditangkap ketika kami keluar untuk makan tengahari," katanya.
"Itulah sebabnya kita memutuskan untuk keluar dewan, bagi menunjukkan bahawa Parlimen kita sudah hilang integritinya," katanya sambil menambah bahawa Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan telah menurut arahan kerajaan yang bimbangkan "suara rakyat".
Beliau menyifatkan penangkapan tersebut sebagai 'bodoh dan biadap" serta menunjukkan bahawa pemimpin pembangkang dan ahli Parlimen tidak dihormati.
Ahli Parlimen Ipoh Barat pula, M Kulasegaran pula berpendapat bahawa tidak ada mahkamah yang boleh memberi perintah bagi mengawal apa yang berlaku di Parlimen.
"Parlimen adalah badan tertinggi. Saya terkejut bila Mahkamah Majistret Kuala Lumpur boleh mengeluarkan perintah tersebut," katanya, sambil menambah beliau pasti bahawa usul yang diluluskan oleh Dewan Rakyat supaya semua jalan menuju ke Parlimen dibuka, tidak dikemukakan kepada majistret.
“Kita merasakan bahawa mahkamah telah dikelirukan untuk mengeluarkan perintah tersebut. Perintah itu tidak seharusnya dikeluarkan. Penangkapan di Parlimen adalah amat tidak wajar sama sekali," tambahnya.
Ambil tindakan segera
Ahli Parlimen Bukit Gelugor Karpal Singh pula berkata penangkapan itu menghina Parlimen.
Katanya, ahli Parlimen pembangkang telah membawa perkara itu kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Ramli Ngah Talib, yang berjanji untuk bercakap dengan Ketua Polis Negara.
"Kita harap sesuatu yang positif akan terhasil daripada perbicangan tersebut. Kita juga sedang mengkaji sama ada perintah yang dikeluarkan oleh majistret itu sah, dan kita sedang menimbang untuk mencabarnya," kata Karpal.
Manakala ahli Parlimen Kepong, Tan Seng Giaw berkata, beliau tidak pernah melihat insiden hari selama 25 tahun menjadi wakil rakyat.
"Ia tidak seharusnya dibenarkan. Prinsip berparlimen bermakna tiada sebarang tangkapan dibuat, kecuali oleh Parlimen dalam kawasan Parlimen yang termasuk bangunan dan kawasan Parlimen sehingga ke pagar luar. Kerajaan mesti mengambil tindakan segera bagi memperbetulkan kesilapan tersebut," katanya.
Lim berkata, dalam pertemuan singkatnya dengan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, ketika Perdana Menteri datang ke Dewan Rakyat, beliau telah bertanya mengenai penangkapan tersebut.
"Beliau (Abdullah) berkata tangkapan tidak boleh dibuat di Dewan, tetapi dibenarkan di luar Dewan," katanya.
Sementara itu, pindaan perlembagaan yang mencetuskan kontroversi itu telah diluluskan sebulat suara pada jam 4.50 petang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz, telah mengendalikan halehwal bidang kehakiman, mempertahan tindakan polis itu.
"Mereka mahu datang membantah pindaan perlembagaan itu hari ini. Jadi mereka mahu datang ramai. Kita tidak akan membenarkannya," katanya kepada pemberita di Parlimen.
"Kita telah mengambil tindakan terhadap merek adan kita menggunakan sistem mahkamah untuk mendakwa mereka," katanya lagi.

