Kerajaan hari ini mengumumkan anggota dan bidangkuasa suruhanjaya diraja untuk menyiasatkan klip video perbualan peguam Datuk VK Lingam yang didakwa mengenai urusan pelantikan hakim-hakim.

Suruhanjaya lima anggota itu akan diketuai oleh bekas Ketua Hakim Besar Malaya, Tan Sri Haidar Mohamed Noor.

Anggota lain terdiri daripada bekas Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, Tan Sri Steve Shim; bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mahadev Shankar; bekas Peguam Cara, Puan Sri Datuk Zaitun Zawiyah Puteh dan Pesuruhjaya Suhakam, Prof Datuk Khoo Kay Kim.

Dalam kenyataan Pejabat Perdana Menteri hari ini, Ketua Bahagian Halehwal Perundangan Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdullah Sani Hamid dilantik sebagai setiausaha suruhanjaya tersebut.

Menurutnya, bidang tugas suruhanjaya tersebut ialah:

- Untuk menyiasat dan menentukan kesahihan rakaman klip video berkenaan;

- Untuk menyiasat dan mengenal pasti identiti orang yang terdapat dalam klip video tersebut, kepada siapa dia sedang bercakap dan orang-orang yang disebut dalam perbualan itu;

- Untuk menyiasat dan menentukan kebenaran isi kandungan percakapan dalam klip video tersebut;

- Untuk menentukan sama ada terdapat apa-apa salahlaku oleh orang atau orang-orang yang dikenal pasti atau disebut dalam klip video tersebut; dan

- Untuk mengesyorkan apa-apa tindakan yang sesuai untuk diambil terhadap orang atau orang-orang yang dikenal pasti atau disebut dalam klip video itu sekiranya orang atau orang-orang itu didapati telah melakukan sebarang salah laku.

Suruhanjaya berkenaan dikehendaki menyiapkan siasatannya dan mengemukakan laporan kepada Yang di-Pertuan Agong dalam masa tiga bulan dari tarikh tualiah dikeluarkan.

Menurut kenyataan itu lagi, Jemaah Menteri yang bermesyuarat pada 5 Disember lalu telah membincang dan bersetuju dengan keanggotaan suruhanjaya tersebut, bidang tugasnya dan tempoh siasatan untuk mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Sehubungan itu, Seri Paduka telah memperkenan penubuhan suruhanjaya siasatan mengenai rakaman klip vIdeo yang mengandungi imej seorang yang dikatakan sebagai peguambela dan peguam cara berbual melalui telefon mengenai urusan pelantikan hakim-hakim, mengikut Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119), berkuatkuasa mulai hari ini.